- Iklan -
Luar Sana

Australia beli kapal selam nuklear AS, sertai pakatan baharu

Walaupun Australia menolak menggunakan senjata atom, namun rancangan kapal selamnya menandakan fasa terbaru yang penting dalam konfrontasi dengan China.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden AS Joe Biden, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Perdana Menteri Britain Rishi Sunak berkumpul untuk mesyuarat tiga hala, di Naval Base Point Loma di San Diego, California Amerika Syarikat. 13 Mac. Gambar: Reuters
Presiden AS Joe Biden, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Perdana Menteri Britain Rishi Sunak berkumpul untuk mesyuarat tiga hala, di Naval Base Point Loma di San Diego, California Amerika Syarikat. 13 Mac. Gambar: Reuters

Australia mengumumkan akan membeli sebanyak lima kapal selam berkuasa nuklear buatan Amerika Syarikat (AS), kemudian membina model baharu dengan teknologi AS dan British di bawah rancangan untuk meningkatkan kekuatan Barat di seluruh Asia Pasifik dalam menghadapi ancaman China.

Pengumuman itu dibuat pada satu majlis di pangkalan tentera laut San Diego, California di mana Presiden Joe Biden menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Perdana Menteri Britain Rishi Sunak. 

Dengan kapal selam nuklear kelas Virginia AS berlabuh di belakang podium ketiga-tiga mereka, Biden berkata AS "menjaga kestabilan di Indo-Pasifik selama beberapa dekad" dan bahawa pakatan kapal selam itu akan meningkatkan "prospek keamanan untuk beberapa dekad akan datang." 

Seperti yang ditegaskan Biden, Australia, yang menyertai pakatan baru ditubuhkan dikenali sebagai Aukus bersama Washington dan London 18 bulan lalu, tidak akan mendapat senjata nuklear. 

Bagaimanapun, memperoleh kapal selam yang dikuasakan oleh reaktor nuklear meletakkan Australia dalam kelab elit dan di barisan hadapan dalam usaha diketuai AS untuk menolak pengembangan ketenteraan China.

Albanese berkata perjanjian itu mewakili pelaburan tunggal terbesar dalam keupayaan pertahanan Australia.

Beliau meramalkan bahawa impak ekonomi yang lebih meluas di dalam negara akan sama dengan pengenalan industri automobil di negara ini selepas Perang Dunia II. 

Albanese menggariskan bahawa Australia kini hanya negara kedua, selepas Britain, yang diberi akses kepada rahsia nuklear tentera laut AS. 

"Kami terikat, terutama sekali, oleh dunia... di mana keamanan dan kestabilan dan keselamatan memastikan kemakmuran yang lebih besar," katanya. 

Tiga kapal selam kelas Virginia berkuasa nuklear yang bersenjata konvensional akan dijual "sepanjang tahun 2030-an," dengan "kemungkinan naik kepada lima jika ia diperlukan," kata penasihat keselamatan negara Biden, Jake Sullivan. 

Britain dan Australia kemudiannya akan memulakan pembinaan model baharu, juga berkuasa nuklear dan membawa senjata konvensional, yang digelar SSN-Aukus. 

Ini akan menjadi reka bentuk British, dengan teknologi AS, dan "pelaburan yang besar dalam ketiga-tiga pangkalan industri," kata Sullivan.