- Iklan -
Luar Sana

Liga Eropah bimbang keputusan Fifa ubah format kejohanan

Mereka berkata keputusan diambil Fifa adalah secara unilateral tanpa sebarang proses rundingan.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail logo Fifa dilihat di hadapan ibu pejabatnya di Zurich, Switzerland. Gambar: Reuters
Gambar fail logo Fifa dilihat di hadapan ibu pejabatnya di Zurich, Switzerland. Gambar: Reuters

Liga Eropah bimbang dengan keputusan Fifa untuk memperkenalkan Piala Dunia Kelab melibatkan 32 pasukan dan melanjutkan penganjuran Piala Dunia 2026 kepada 104 perlawanan, kata mereka dalam satu kenyataan pada Rabu. 

Menjelang Kongresnya di Kigali, Rwanda, Fifa berkata pada Selasa bahawa 48 pasukan akan bermain dalam peringkat akhir Piala Dunia akan datang dan terdapat 32 pasukan dalam Piala Dunia Kelab yang akan dianjurkan setiap empat tahun mulai Jun 2025. 

“Liga Eropah bimbang dengan pengumuman yang dibuat semalam oleh Majlis Fifa,” kata persatuan itu yang mewakili lebih 1,000 kelab dalam 37 liga profesional di Eropah. 

"Semua keputusan ini diambil oleh Fifa secara unilateral dan tanpa sebarang proses rundingan dengan ramai pemegang taruh bola sepak dan liga. Malangnya, ini menjadi kebiasaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini." 

Liga Eropah menambah bahawa mereka bekerjasama dengan Forum Liga Dunia untuk memutuskan langkah selanjutnya yang perlu diambil sebagai tindak balas kepada keputusan Fifa.

La Liga Sepanyol berkata pada Rabu bahawa keputusan Fifa ini menunjukkan badan induk dunia itu "tidak menghiraukan sepenuhnya" kepentingan pertandingan kebangsaan dan "meneruskan penyelewengan dalam membuat keputusan unilateral mengenai kalendar bola sepak". 

Reuters cuba menghubungi Fifa bagi mendapatkan maklumat balas namun tidak berjaya.