- Iklan -
Luar Sana

Perkhidmatan awam Greece lumpuh akibat mogok, insiden kereta api

Kira-kira 25,000 orang berkumpul di jalan-jalan menuju ibu negara, menuntut akauntabiliti bagi tragedi terburuk di Greece pada 28 Februari, yang meragut 57 nyawa.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kemalangan membabitkan dua kereta api di bandar Larissa, Greece pada 28 Februari lalu mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat negara itu yang menuntut akauntabiliti bagi tragedi terburuk tersebut, 2 Mac. Gambar: Reuters
Kemalangan membabitkan dua kereta api di bandar Larissa, Greece pada 28 Februari lalu mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat negara itu yang menuntut akauntabiliti bagi tragedi terburuk tersebut, 2 Mac. Gambar: Reuters

Perkhidmatan awam Greece, termasuk sektor pengangkutan lumpuh selama 24 jam akibat mogok di seluruh negara ekoran kemalangan kereta api bulan lepas.

Satu siri protes di tengah-tengah Athens oleh kesatuan pekerja awam ADEDY, kesatuan sektor swasta GSEE, dan kesatuan sekerja serta parti pembangkang berakhir dengan pergelutan antara penunjuk perasaan dan polis, lapor Xinhua memetik laporan agensi berita kebangsaan Greece AMNA.

Menurut anggaran polis, kira-kira 25,000 orang berkumpul di jalan-jalan menuju ibu negara, menuntut akauntabiliti bagi tragedi terburuk di Greece pada 28 Februari, yang meragut 57 nyawa.

Mereka juga menuntut keadilan untuk mangsa dan mendesak landasan kereta api yang selamat untuk semua.

"Kami berada di sini, dan kami menuntut agar segala-galanya didedahkan. Kami tidak akan berhenti sehingga suara kami didengari," Konstantinos Vlachakis, setiausaha Majlis Belia Pusat parti pembangkang utama SYRIZA memberitahu Xinhua.

Empat ketua stesen dan seorang penyelia didakwa setakat ini atas tuduhan kecuaian hingga mengakibatkan kematian ekoran insiden kereta api penumpang bertembung dengan sebuah kereta api barang di tengah Greece.

Kerajaan memohon maaf atas aspek keselamatan operasi rangkaian kereta api, serta berjanji untuk menaik taraf kemudahan itu secara beransur-ansur.

Perkhidmatan penumpang yang dihentikan pada 1 Mac dijangka beroperasi semula secara beransur-ansur di bawah protokol keselamatan ketat bermula 22 Mac, kata pegawai pada Selasa.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.