Presiden Poland Andrzej Duda pada Khamis berkata Warsaw akan menghantar kumpulan terawal empat jet pejuang MiG-29 ke Ukraine, sekali gus menjadi penghantaran pertama oleh anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
Ukraine berulang kali meminta sekutu Baratnya untuk menghantar pesawat perang – walaupun berhasrat mendapatkan jet pejuang moden F-16 buatan Amerika Syarikat (AS) - tetapi setakat ini tiada negara Barat komited untuk memberikan jet kepada Kyiv.
"Dalam beberapa hari akan datang kami akan memindahkan, jika saya ingat betul, empat pesawat beroperasi sepenuhnya ke Ukraine," kata Duda kepada pemberita mengenai jet buatan Soviet itu.
Menghantar sebarang jet pejuang akan menandakan perkembangan penting dalam konflik dan akan meningkatkan pertahanan Kyiv terhadap serangan peluru berpandu Rusia dan serangan dron.
Poland menerajui usaha untuk menghantar lebih banyak peralatan ke Ukraine dan meyakinkan Barat untuk mengikutinya.
Duda berkata Poland pada masa ini mempunyai 12 atau lebih pesawat MiG yang diwarisi dari bekas German Democratic Republic, untuk dihantar ke Ukraine.
"MiG ini masih dalam perkhidmatan dalam tentera udara Poland. Pesawat tersebut berada dalam tahun-tahun terakhir operasi tetapi sebahagian besarnya masih boleh berfungsi sepenuhnya," katanya.
Beliau juga menambah bahawa MiG adalah "jet yang boleh dikendalikan oleh juruterbang Ukraine hari ini tanpa sebarang latihan tambahan."
Jurucakap tentera Ukraine berkata negara itu "berterima kasih kepada rakan kongsi kami".
"MiG tidak akan menyelesaikan tugas, kami memerlukan F-16. Tetapi MiG akan membantu mengukuhkan keupayaan kami sebenarnya," kata jurucakap Tentera Udara Ukraine Yuriy Ignat.