- Iklan -
Luar Sana

India panggil diplomat tertinggi Britain, insiden demonstrasi di London

Insiden demonstrasi di London itu dilaporkan tercetus berikutan penunjuk perasaan berang dengan tindakan polis India terhadap ketua pertubuhan Waris Punjab De, Amritpal Singh dan penyokongnya di Punjab.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Polis dan anggota keselamatan meronda di kampung Jallupur Khera kira-kira 45km dari Amritsar pada 19 Mac. Gambar: AFP
Polis dan anggota keselamatan meronda di kampung Jallupur Khera kira-kira 45km dari Amritsar pada 19 Mac. Gambar: AFP

India pada Ahad memanggil diplomat tertinggi Britain di New Delhi bagi mengemukakan bantahan terhadap demonstrasi yang diadakan di luar premis misi diplomatiknya di London.

Bendera kebangsaan India di Suruhanjaya Tinggi itu ditarik ke bawah semasa protes itu.

"Diplomat UK di New Delhi telah dipanggil lewat petang hari ini untuk menyampaikan bantahan keras India terhadap tindakan yang diambil oleh elemen pemisah dan ekstremis terhadap Suruhanjaya Tinggi India di London pada awal hari ini," menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Ahad.

"Penjelasan dituntut kerana ketiadaan pihak keselamatan British sehingga membenarkan unsur-unsur ini di premis Suruhanjaya Tinggi. Beliau diingatkan tentang kewajipan asas Kerajaan UK di bawah Konvensyen Vienna.

"India mendapati sikap acuh tak acuh Kerajaan UK terhadap keselamatan premis dan kakitangan diplomatik India di UK dan ini tidak boleh diterima. 

“Kerajaan UK dijangka mengambil langkah segera untuk mengenal pasti, menangkap dan mendakwa setiap seorang daripada mereka yang terlibat dalam insiden hari ini, dan melaksanakan tindakan tegas untuk mengelakkan kejadian seperti itu berulang," menurut kementerian itu.

Penunjuk perasaan di London dilaporkan berang dengan tindakan polis India terhadap ketua pertubuhan Waris Punjab De (Waris Punjab) Amritpal Singh dan penyokongnya di Punjab.

Lebih 110 orang ditahan sejak Sabtu dalam satu operasi besar-besaran yang dilancarkan untuk memburu Amritpal. 

Amritpal, 30, disifatkan oleh media India sebagai pendakwah radikal yang simpati terhadap usaha untuk menubuhkan negara "Khalistan" yang merdeka.

Dia melarikan diri daripada buruan polis pada Sabtu manakala ramai rakan sekutunya ditahan.

Dia menjadi tumpuan baru-baru ini susulan kenyataannya yang dilihat sebagai mempromosi radikalisme di wilayah majoriti Sikh di India.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.