Syarikat perbankan Switzerland, UBS akan mengambil alih pesaingnya yang berdepan bermasalah, Credit Suisse dengan harga AS$3.25 bilion (RM14.58 bilion) susulan rundingan penting pada Ahad bertujuan menghentikan bank yang terjejas itu daripada mencetuskan krisis perbankan antarabangsa yang lebih meluas.
Perjanjian itu, yang mana bank terbesar Switzerland akan mengambil alih syarikat perbankan kedua terbesar di negara itu, adalah penting untuk mengelakkan kegawatan ekonomi yang tidak dapat diperbaiki merebak ke seluruh negara dan seterusnya, demikian menurut kerajaan Switzerland.
Langkah itu dialu-alukan di Washington, Frankfurt dan London sebagai satu langkah yang akan menyokong kestabilan kewangan, selepas seminggu bergelut berikutan kejatuhan dua bank Amerika Syarikat (AS).
Selepas satu hari perbincangan dramatik di kementerian kewangan di Bern – dan dengan masa yang semakin suntuk menuju pasaran dibuka semula pada Isnin – pengambilalihan itu diumumkan pada sidang akhbar.
Presiden Switzerland Alain Berset diapit oleh pengerusi UBS Colm Kelleher dan rakan sejawatannya di Credit Suisse Axel Lehmann, bersama menteri kewangan Switzerland dan ketua bank pusat Swiss National Bank (SNB) dan pengawal selia kewangan Finma.
Switzerland terkenal dengan keunggulan perbankannya.
Berset berkata pengambilalihan itu adalah "penyelesaian terbaik untuk memulihkan keyakinan yang kurang dalam pasaran kewangan baru-baru ini".
Jika Credit Suisse runtuh, maka ia akan membawa kepada "akibat yang tidak dapat diduga untuk negara dan untuk kestabilan kewangan antarabangsa", katanya.
Credit Suisse dalam satu kenyataan berkata, UBS akan mengambil alih syarikat itu untuk "pertimbangan penggabungan bernilai tiga bilion franc Swiss (AS$3.25 bilion)".
Selepas mengalami kejatuhan besar di pasaran saham minggu lalu, harga saham Credit Suisse ditutup pada 1.86 franc Swiss (RM9.00), dengan nilai bank itu hanya lebih AS$8.7 bilion pada Jumaat lalu.
UBS berkata pemegang saham Credit Suisse akan mendapat 0.76 franc Swiss sesaham.
"Memandangkan keadaan luar biasa dan tidak pernah berlaku baru-baru ini, penggabungan yang diumumkan mewakili hasil terbaik yang ada," kata Lehmann.
Risiko 'kerosakan cagaran besar'
Menteri Kewangan Karin Keller-Sutter berkata kebankrapan Credit Suisse boleh menyebabkan "kegawatan ekonomi yang tidak dapat diperbaiki" dan "kerosakan cagaran besar" untuk pasaran kewangan Switzerland, apatah lagi "risiko penularan" bagi bank lain, termasuk UBS sendiri.
Katanya, pengambilalihan itu "meletakkan asas untuk kestabilan yang lebih baik di Switzerland dan antarabangsa".
Perjanjian itu mendapat sambutan baik di peringkat antarabangsa.
Ketua Bank Pusat Eropah Christine Lagarde mengalu-alukan "tindakan pantas" tersebut.
Katanya, keputusan yang diambil di Bern "adalah penting untuk memulihkan keadaan pasaran yang teratur dan memastikan kestabilan kewangan”.
"Sektor perbankan kawasan euro berdaya tahan, dengan kedudukan modal dan mudah tunai yang kukuh."
Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell dan Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen dalam satu kenyataan bersama berkata: "Kami mengalu-alukan pengumuman oleh pihak berkuasa Switzerland hari ini untuk menyokong kestabilan kewangan."
Sentimen itu turut disuarakan oleh Menteri Kewangan Britain, Jeremy Hunt.
Keller-Sutter berkata, rakan sekerjanya di AS dan Britain "sangat takut bahawa Credit Suisse boleh menjadi muflis, dan mengalami kerugian".
Rizab Persekutuan AS dan bank pusat Kanada, Britain, Jepun, EU dan Switzerland mengumumkan mereka akan melancarkan usaha terkoordinasi untuk meningkatkan akses bank kepada mudah tunai, dengan harapan dapat meredakan kebimbangan yang melanda sektor perbankan global.
SNB mengumumkan bahawa kecairan 100 bilion franc Swiss akan tersedia untuk pengambilalihan UBS-Credit Suisse.
Keller-Sutter menegaskan perjanjian itu adalah "penyelesaian komersial dan bukan penyelamat".
Pengambilalihan itu mewujudkan gergasi perbankan ketika Switzerland belum pernah mengalaminya sebelum ini – dan menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan pembuangan pekerja.
Pengerusi UBS Kelleher berkata: "Kami komited untuk menjayakan perjanjian ini.
"UBS akan kekal kukuh," tegasnya.