- Iklan -
Luar Sana

BBC gesa kakitangan padam aplikasi TikTok, bimbang data disalah guna

Pihak berkuasa Barat mengambil pendekatan tegas terhadap aplikasi itu, yang dimiliki oleh firma ByteDance, memetik kebimbangan bahawa data pengguna boleh digunakan atau disalah guna oleh pegawai China.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
TikTok dimiliki oleh firma China, ByteDance dan mempunyai lebih daripada satu bilion pengguna di seluruh dunia termasuk lebih 100 juta di Amerika Syarikat, di mana ia menjadi kuasa budaya, terutamanya untuk golongan muda. Gambar: Reuters
TikTok dimiliki oleh firma China, ByteDance dan mempunyai lebih daripada satu bilion pengguna di seluruh dunia termasuk lebih 100 juta di Amerika Syarikat, di mana ia menjadi kuasa budaya, terutamanya untuk golongan muda. Gambar: Reuters

BBC berkata bahawa syarikat itu sudah memberitahu kakitangan untuk memadam aplikasi video milik China TikTok melainkan ia diperlukan atas urusan perniagaan, dengan institusi Barat semakin mengambil sikap lebih keras terhadap kebimbangan pengumpulan data. 

Gergasi penyiaran Britain itu melaporkan bahawa ia menghantar mesej kepada kakitangan pada Ahad berkata: "Kami tidak mengesyorkan anda memasang TikTok pada peranti korporat BBC melainkan ada sebab perniagaan yang wajar.

"Jika anda tidak memerlukan TikTok atas urusan perniagaan, TikTok harus dipadamkan," tambahnya.

Pihak berkuasa Barat mengambil pendekatan tegas terhadap aplikasi itu, yang dimiliki oleh firma ByteDance, memetik kebimbangan bahawa data pengguna boleh digunakan atau disalahgunakan oleh pegawai China. 

UK pada Khamis mengumumkan larangan keselamatan TikTok pada peranti kerajaan, selaras dengan tindakan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

BBC memberitahu AFP pada Isnin bahawa ia "mengambil berat soal keselamatan sistem, data dan orang kami dengan sangat serius". 

Ia menambah bahawa walaupun penggunaan TikTok pada peranti korporatnya masih dibenarkan untuk tujuan editorial dan pemasaran, "kami akan terus memantau dan menilai keadaan". 

Penyiar tersebut melancarkan berbilang halaman pada aplikasi itu kerana ia cuba menjangkau pengguna baharu, dan akaun rasminya mempunyai 4.4 juta pengikut. 

ByteDance berulang kali menegaskan bahawa syarikat itu tidak menyimpan data di China atau berkongsinya dengan Beijing.