- Iklan -
Luar Sana

Biden tandatangan rang undang-undang ubah status maklumat asal usul Covid-19

Pada 28 Februari lalu, Pengarah FBI Christopher Wray berkata biro itu menilai bahawa asal usul wabak itu kemungkinan besar adalah insiden makmal di Wuhan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail anggota keselamatan melakukan kawalan di luar Institut Virologi Wuhan sewaktu lawatan oleh pasukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang ditugaskan untuk menyiasat asal usul Covid-19 di Wuhan, wilayah Hubei, China pada 3 Februari 2021. Gambar: Reuters
Gambar fail anggota keselamatan melakukan kawalan di luar Institut Virologi Wuhan sewaktu lawatan oleh pasukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang ditugaskan untuk menyiasat asal usul Covid-19 di Wuhan, wilayah Hubei, China pada 3 Februari 2021. Gambar: Reuters

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menandatangani rang undang-undang untuk mengubah status maklumat berkaitan asal usul Covid-19 selepas ia diluluskan sebulat suara oleh Kongres, lapor Agensi Anadolu.

"Pentadbiran saya akan terus menyemak semua maklumat sulit berkaitan asal usul Covid-19, termasuk kemungkinan pautan ke Institut Virologi Wuhan.

“Dalam melaksanakan undang-undang ini, pentadbiran saya akan menukar status dan berkongsi sebanyak mungkin maklumat, selaras kuasa perlembagaan saya untuk melindungi pendedahan maklumat yang boleh meletakkan keselamatan negara dalam bahaya,” menurut kenyataan Biden pada Isnin.

Rang undang-undang itu memerlukan Pejabat Pengarah Perisikan Negara untuk mengubah status  semua perisikan berkaitan asal usul wabak itu selepas beberapa pegawai sedia ada, bekas pegawai serta agensi AS menyokong teori bahawa virus itu berasal dari makmal penyelidikan China di bandar Wuhan dan bukannya akibat daripada fenomena alam.

Pada 28 Februari, Pengarah FBI Christopher Wray berkata biro itu menilai bahawa asal usul wabak itu kemungkinan besar adalah insiden makmal di Wuhan dan mendakwa Beijing berusaha untuk melemahkan siasatan AS dan anggota masyarakat antarabangsa yang lain.

Beberapa hari sebelum pengumuman Wray, Jabatan Tenaga mengeluarkan laporan yang  menyatakan "kurang yakin" bahawa kebocoran makmal bertanggungjawab untuk Covid-19.

Bagaimanapun, perisikan asas kekal sulit yang bermakna rakyat Amerika dan pihak yang berminat di seluruh dunia tidak dapat mengaksesnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.