- Iklan -
Luar Sana

Peraturan dikenakan IOC 'tidak boleh diterima', kata ketua Olimpik Rusia

Stanislav Pozdnyakov menentang sebarang peraturan dikenakan terhadap atlet Rusia dan Belarus yang perlu bertanding atas tiket berkecuali tanpa dibenarkan menggunakan bendera atau lagu kebangsaan.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Pelarian Ukraine membantah sebarang penyertaan atlet Rusia dan Belarus pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Essen, Jerman, 22 Mac. Gambar: Reuters
Pelarian Ukraine membantah sebarang penyertaan atlet Rusia dan Belarus pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Essen, Jerman, 22 Mac. Gambar: Reuters

Ketua Jawatankuasa Olimpik Rusia pada Selasa mengecam kriteria “tidak boleh diterima” yang diumumkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi membolehkan atlet republik itu dan Belarus mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa.

Atlet dari Rusia dan sekutu Moscow, Belarus dilarang daripada bertanding berikutan pencerobohan Kremlin ke atas Ukraine tahun lepas.

Namun, peraturan yang diumumkan di ibu pejabat IOC Lausanne bertujuan untuk membenarkan semula atlet dari Rusia dan Belarus menyertai acara sukan dunia secara beransur-ansur.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Rusia, Stanislav Pozdnyakov berkata beliau menentang sebarang peraturan dikenakan terhadap atlet Rusia dan Belarus yang perlu bertanding atas tiket berkecuali tanpa dibenarkan menggunakan bendera atau lagu kebangsaan.

Beliau juga mengecam prosedur anti-doping tambahan untuk atlet Rusia – satu langkah yang dikaitkan dengan skandal doping sebelum ini. 

"Parameter seperti yang diumumkan sama sekali tidak boleh diterima. Ini adalah diskriminasi atas dasar kewarganegaraan, seperti yang dinyatakan berulang kali oleh pakar hak asasi manusia antarabangsa," kata Pozdnyakov dalam sidang media secara rakaman menerusi klip video yang disiarkan di akaun Telegramnya.

“Status berkecuali atau neutral adalah pencabulan hak asasi manusia... Kami percaya syarat yang dicadangkan adalah tidak berasas, tidak mempunyai asas perundangan dan berlebihan. 

"Kami secara mutlak tidak bersetuju dengan menjalankan prosedur anti-doping tambahan berkenaan dengan atlet Rusia." 

Keputusan IOC, katanya, merupakan "pengakuan kesilapan mereka" apabila larangan ke atas atlet Rusia dan Belarus diperkenalkan beberapa hari selepas tentera Rusia memasuki Ukraine. 

IOC, kini berminat untuk membenarkan atlet Rusia dan Belarus kembali menyertai semua sukan, menetapkan laluan untuk pesaing ini memperoleh slot Olimpik melalui kelayakan Asia. 

Ukraine menerajui kempen untuk memboikot Sukan Olimpik Paris sekiranya atlet dua negara itu bertanding, walaupun atas tiket berkecuali.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.