- Iklan -
Luar Sana

PM Perancis jumpa wakil kesatuan sekerja pada 5 April

Ia selepas pembaharuan pencen kontroversi yang mencetuskan bantahan besar-besaran daripada masyarakat negara itu sejak awal tahun ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Polis anti-rusuhan Perancis berlari di tengah-tengah pertempuran dengan penunjuk perasaan sewaktu mogok pada hari kesembilan di seluruh negara dan bantahan terhadap pembaharuan pencen kerajaan negara itu, di Paris, 23 Mac. Gambar: Reuters
Polis anti-rusuhan Perancis berlari di tengah-tengah pertempuran dengan penunjuk perasaan sewaktu mogok pada hari kesembilan di seluruh negara dan bantahan terhadap pembaharuan pencen kerajaan negara itu, di Paris, 23 Mac. Gambar: Reuters

Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne akan bertemu wakil pertubuhan kesatuan sekerja pada 5 April ini bagi membincangkan pembaharuan pencen yang dilanda kontroversi, kata Timbalan Setiausaha Agung Konfederasi Buruh Demokratik Perancis (CFDT), Marylise Leon, pada Rabu.

Pada Rabu, Setiausaha Agung CFDT Laurent Berger berkata kesatuan-kesatuan sekerja telah pun menerima jemputan rasmi daripada ketua kerajaan Perancis itu.

"Jelas, tarikh pertemuan ditetapkan pada Rabu depan (5 April). Kami akan menyertai mesyuarat antara kesatuan dan berbincang dengan perdana menteri... Hampir semua organisasi memberi maklumat balas positif," lapor Sputnik memetik Leon bercakap kepada badan penyiar Perancis, BFMTV.

Laporan itu bagaimanapun menyatakan bahawa Gabungan Am Buruh (CGT) masih belum mengesahkan tarikh itu.

Pembaharuan pencen yang dicadang dilaksanakan oleh kerajaan Perancis pada Januari dan diterima pakai pada Mac, menaikkan had umur persaraan daripada 62 tahun kepada 64 tahun.

Namun sejak awal tahun, masyarakat di seluruh Perancis mula turun ke jalanan untuk membantah pembaharuan itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.