Badan induk bola sepak dunia Fifa sedang mempertimbangkan sekatan terhadap Indonesia selepas melucutkan hak penganjuran negara itu sebagai tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 tahun, kata Ketua Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) Erick Thohir pada Jumaat.
Fifa menarik balik hak penganjuran Indonesia atas apa yang dikatakan pegawai PSSI sebagai kegagalan untuk memenuhi komitmennya terhadap kejohanan itu, berikutan kemarahan beberapa ahli politik di negara yang majoritinya beragama Islam berhubung penyertaan Israel.
Fifa mengambil tindakan itu selepas PSSI berkata ia telah membatalkan undian untuk kejohanan tersebut kerana gabenor Bali meminta supaya pasukan Israel disingkirkan.
Penyingkiran itu menimbulkan kemarahan dan kekecewaan di kalangan peminat dan pemain di negara Asia Tenggara yang cukup fanatik dengan sukan itu.
Erick pada sidang akhbar memberitahu sekatan terbesar yang mungkin dikenakan oleh Fifa termasuk menghalang Indonesia daripada bersaing di peringkat tertinggi sukan itu di peringkat antarabangsa.
“Saya berusaha keras untuk berunding semula dengan Fifa supaya sekatan dapat dielakkan,” katanya.
Presiden Indonesia Joko Widodo tidak mahu negara itu "diasingkan" daripada dunia bola sepak dan mengarahkan PSSI melakukan transformasi ke atas sukan itu di negara tersebut selepas hak penganjuran ditarik, kata Erick.
Fifa bagaimanapun tidak memberi sebarang maklum balas lanjut setakat ini.