- Iklan -
Luar Sana

China kecam pertemuan presiden Taiwan, speaker Dewan Perwakilan AS

Ini kerana negara tembok besar itu mendakwa Taiwan yang ditadbir secara demokrasi sebagai wilayahnya sendiri.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Taiwan Tsai Ing-wen dan Speaker Dewan Perwakilan AS Kevin McCarthy mengadakan sidang media selepas mesyuarat di Perpustakaan Presiden Ronald Reagan, di Simi Valley, California, Amerika Syarikat, 5 April. Gambar: Reuters
Presiden Taiwan Tsai Ing-wen dan Speaker Dewan Perwakilan AS Kevin McCarthy mengadakan sidang media selepas mesyuarat di Perpustakaan Presiden Ronald Reagan, di Simi Valley, California, Amerika Syarikat, 5 April. Gambar: Reuters

Kementerian Luar China pada Khamis mengecam pertemuan yang diadakan antara presiden Taiwan dan speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) di California.

Menurut kementerian itu, republik berkenaan akan mempertahankan kedaulatannya sambil menyifatkan pertemuan tersebut sebagai “pakatan sulit”, menurut agensi berita Xinhua.

"China dengan tegas menentang dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu," kata jurucakap Kementerian Luar China, menurut agensi berita rasmi republik itu. 

"Sebagai respons terhadap tindakan pakatan sulit yang tidak sepatutnya berlaku antara AS dan Taiwan, China akan mengambil langkah tegas untuk melindungi kedaulatan negara dan integriti wilayahnya." 

Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Kevin McCarthy menjadi tuan rumah kepada Presiden Taiwan Tsai Ing-wen di California pada Rabu.

Beliau menjadi pegawai AS paling kanan bertemu pemimpin Taiwan dalam tempoh beberapa dekad dan menekankan keperluan untuk mempercepatkan penghantaran senjata ke pulau itu dalam menghadapi ancaman dari China. 

Dalam kenyataan berasingan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Kongres Kebangsaan pada Khamis, dipetik oleh Xinhua, berkata tindakan McCarthy "sungguh mematahkan komitmen yang dibuat AS kepada China mengenai Taiwan." 

China mendakwa Taiwan yang ditadbir secara demokrasi sebagai wilayahnya sendiri.

Washington menukar pengiktirafan diplomatik dari Taiwan kepada Beijing pada 1979.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.