- Iklan -
Luar Sana

Seoul dakwa Korea Utara sudah sedia jalankan ujian nuklear pada ‘bila-bila masa’

Menteri Pertahanan Korea Selatan Lee Jong-sup berkata Korea Selatan dan Amerika Syarikat telah merangka langkah ketenteraan bersama untuk bertindak balas terhadap kemungkinan ujian nuklear Korea Utara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tentera Korea Selatan mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan bersama dengan anggota Tentera Amerika Syarikat di padang latihan ketenteraan berhampiran zon demilitarisasi yang memisahkan kedua-dua negara itu di Paju, Korea Selatan, 16 Mac. Gambar: Reuters
Tentera Korea Selatan mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan bersama dengan anggota Tentera Amerika Syarikat di padang latihan ketenteraan berhampiran zon demilitarisasi yang memisahkan kedua-dua negara itu di Paju, Korea Selatan, 16 Mac. Gambar: Reuters

Menteri Pertahanan Korea Selatan Lee Jong-sup pada Khamis mendakwa bahawa Korea Utara sudah bersedia untuk menjalankan ujian nuklear "pada bila-bila masa." 

Lee berkata demikian di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak akibat tindakan provokatif Korea Utara.

"(Korea Utara) telah pun menyiapkan persiapan untuk ujian nuklear ketujuhnya dan mampu menjalankan ujian nuklear pada bila-bila masa," kata Lee dalam satu taklimat kepada Ahli Parlimen. 

Beliau berkata Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) telah merangka langkah ketenteraan bersama untuk bertindak balas terhadap kemungkinan ujian nuklear Korea Utara dengan tujuan untuk menunjukkan keupayaan pakatan mereka.

Selain itu Tentera Korea Selatan telah memperkukuh pemantauan ke atas tapak ujian nuklear Punggye-ri Utara, katanya.

Terdapat pelbagai pandangan mengenai bila ujian nuklear Korea Utara akan dilakukan.

Ada pihak yang menyatakan bahawa Korea Utara mungkin tidak menjalankan ujian dalam masa terdekat, memandangkan negara itu sudah memperoleh teknologi yang mencukupi melalui enam ujian nuklear, termasuk yang terakhir pada 2017.

Dalam taklimat itu, Kementerian Pertahanan turut menyentuh mengenai latihan ketenteraan Korea Selatan-AS baru-baru ini yang dijadikan alasan oleh Korea Utara untuk melancarkan ujian nuklear.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.