- Iklan -
Luar Sana

Korea Selatan akan bincang 'isu berbangkit' berkait dokumen bocor dengan AS

Dokumen ketenteraan sulit disiarkan di media sosial yang menunjukkan gambaran sebahagian daripada perang di Ukraine, menurut tiga pegawai AS sambil menambah Rusia atau sekutunya berkemungkinan menjadi dalam di sebalik kebocoran itu.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota tentera Ukraine melambai sesama sendiri ketika memandu di sepanjang jalan berhampiran bandar Bakhmut, wilayah Donetsk pada 8 April, di tengah-tengah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Gambar: AFP
Anggota tentera Ukraine melambai sesama sendiri ketika memandu di sepanjang jalan berhampiran bandar Bakhmut, wilayah Donetsk pada 8 April, di tengah-tengah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Gambar: AFP

Korea Selatan mengambil maklum laporan berita berkaitan kebocoran beberapa dokumen sulit tentera Amerika Syarikat (AS) dan negara itu merancang untuk membincangkan "isu yang dibangkitkan" akibat kebocoran tersebut dengan AS, kata seorang pegawai kepada presiden Korea Selatan, semalam.

Beberapa dokumen rahsia ketenteraan AS yang disiarkan di media sosial baru-baru ini menunjukkan gambaran sebahagian daripada perang di Ukraine, menurut tiga pegawai AS kepada Reuters pada Jumaat, sambil menambah bahawa Rusia atau sekutunya berkemungkinan menjadi dalang di sebalik  kebocoran itu. 

Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen tersebut. Jabatan Kehakiman AS berkata ia sedang menyiasat kebocoran itu. 

Semalam, Akhbar New York Times melaporkan bahawa dokumen yang bocor itu mengandungi butiran mengenai perbincangan dalaman di kalangan pegawai atasan Korea Selatan mengenai tekanan AS terhadap sekutunya itu untuk membantu membekalkan senjata ke Ukraine, dan dasarnya untuk tidak berbuat demikian. 

Akhbar itu berkata, Korea Selatan bersetuju untuk menjual meriam bagi membantu AS menambah aset ketenteraannya, sambil menegaskan bahawa "pengguna akhir" haruslah tentera AS. 

Tetapi secara dalaman, pegawai tertinggi Korea Selatan khuatir AS akan mengalihkan aset ketenteraan itu ke Ukraine.

"Laporan rahsia itu berdasarkan risikan isyarat, yang bermaksud bahawa Amerika Syarikat sudah mengintip salah satu sekutu utamanya di Asia," lapor New York Times. 

Pada sidang media itu, pegawai presiden Korea Selatan berkenaan bagaimanapun enggan menjawab soalan mengenai pengintipan AS atau mengesahkan sebarang butiran daripada dokumen yang bocor tersebut. 

Ditanya sama ada Korea Selatan merancang untuk membuat bantahan atau menuntut penjelasan daripada AS, pegawai itu, yang enggan dikenali, berkata kerajaan akan mengkaji semula amalan dan kes yang melibatkan negara lain. 

Korea Selatan sudah menandatangani perjanjian besar yang menyediakan ratusan kereta kebal, pesawat dan senjata lain kepada anggota Nato, Poland sejak Rusia menyerang Ukraine. 

Namun, Presiden Yoon Suk Yeol berkata undang-undang Korea Selatan yang melarang membekalkan senjata kepada negara yang terlibat dalam konflik menyukarkan Seoul untuk menghantar senjata ke Ukraine. 

Pegawai Korea Selatan itu berkata tiada perubahan kepada dasar negara itu.