- Iklan -
Luar Sana

Macron gesa Eropah tidak terlibat konfrontasi AS, China berhubung isu Taiwan

Sebaliknya, beliau berkata Eropah perlu 'bangun' dan memikirkan kepentingan mereka sendiri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Perancis Emmanuel Macron. Gambar: Reuters
Presiden Perancis Emmanuel Macron. Gambar: Reuters

Eropah sewajarnya tidak mengikut "rentak Amerika" dan tidak terlibat dalam konfrontasi antara Amerika Syarikat (AS) dan China berhubung isu Taiwan, kata Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Ahad.

Beliau berkata Eropah tidak sepatutnya mengikut rentak Amerika dan China yang keterlaluan memaksa orang lain membuat keputusan mengikut kehendak mereka, lapor Sputnik memetik kenyataan Macron.

Sebaliknya, Eropah perlu "bangun" dan memikirkan kepentingan mereka sendiri.

"Keutamaan kami adalah untuk tidak menyesuaikan diri dengan agenda negara lain di semua wilayah di dunia," kata pemimpin Perancis itu.

Kenyataan Macron dibuat selepas lawatannya ke China minggu lepas yang menyaksikan beliau memuji peranan Beijing dalam arena antarabangsa dan menggariskan kepentingan hubungan dua hala Perancis-China dalam pelbagai bidang.

Beberapa siri kontrak komersial turut ditandatangani antara syarikat kedua-dua negara semasa lawatan itu.

Isu Taiwan kembali hangat pada Ogos lalu selepas Speaker Dewan AS ketika itu Nancy Pelosi berkunjung ke pulau itu.

Beijing yang menganggap lawatan itu sebagai tanda sokongan terhadap pemisahan Taiwan, melancarkan latihan ketenteraan berskala besar di sekitar pulau itu.

Walaupun dibantah China, lawatan Pelosi mencetuskan lebih ramai ahli politik Barat melawat Taiwan.