- Iklan -
Luar Sana

China tamatkan latihan ketenteraan di sekitar Taiwan

Taiwan memberi maklum balas kepada pengumuman Beijing dengan mengatakan ia ‘tidak akan pernah mengendurkan’ usahanya untuk mengukuhkan kesediaan tempur dan akan memantau rapi pasukan peluru berpandu China dan pergerakan kapal pengangkut pesawat Shandong.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah jet pejuang berlepas dari kapal pengangkut pesawat Shandong China, melintasi perairan Lautan Pasifik, selatan wilayah Okinawa, Jepun, 10 April. Gambar: Reuters
Sebuah jet pejuang berlepas dari kapal pengangkut pesawat Shandong China, melintasi perairan Lautan Pasifik, selatan wilayah Okinawa, Jepun, 10 April. Gambar: Reuters

China menamatkan latihan ketenteraan selama tiga hari di sekitar Taiwan semalam dengan mengatakan mereka telah menguji keupayaan ketenteraan bersepadu di bawah situasi pertempuran sebenar, setelah mengamalkan serangan tepat dan menyekat pulau yang dianggap Beijing sebagai miliknya.

Taiwan memberi maklum balas kepada pengumuman Beijing dengan mengatakan ia "tidak akan pernah mengendurkan" usahanya untuk mengukuhkan kesediaan tempur dan akan memantau rapi pasukan peluru berpandu China dan pergerakan kapal pengangkut pesawat Shandong. 

Beijing memulakan latihan pada Sabtu selepas Presiden Taiwan Tsai Ing-wen kembali ke Taipei mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Kevin McCarthy di Los Angeles. 

China tidak pernah terlepas daripada menggunakan kekerasan untuk membawa pulau yang ditadbir secara demokrasi itu di bawah kawalan Beijing.

Kerajaan Taiwan dengan tegas mempertikaikan dakwaan China dan mengecam latihan tersebut. 

Tentera China berkata ia telah "berjaya menyelesaikan" latihan dan "menguji secara menyeluruh" keupayaan beberapa unit di bawah situasi pertempuran sebenar.

"Tentera berada dalam keadaan bersedia untuk bertempur sepanjang masa dan boleh bertempur pada bila-bila masa, dengan tegas memusnahkan sebarang bentuk pemisahan kemerdekaan Taiwan dan campur tangan asing," kata Komando Timur Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) dalam satu kenyataan.

Televisyen negara China semalam berkata, pesawat, termasuk pengebom H-6 bersenjatakan peluru berpandu hidup dan kapal perang mengadakan latihan untuk 'membentuk situasi sekatan merangkumi pulau berbilang arah'.

Komando Timur berkata, Shandong juga mengambil bahagian dalam rondaan tempur dan ia menunjukkan pesawat pejuang berlepas dari dek kapal pengangkut pesawat.

Taiwan menjejak Shandong sejak minggu lalu di Lautan Pasifik.

Kementerian pertahanan Taiwan, berkata setakat jam 10 pagi Isnin, ia melihat 12 kapal China dan 91 pesawat tentera di sekitar pulau itu, termasuk pesawat pejuang J-15 yang berpangkalan di kapal induk yang diterbangkan dari Shandong.