- Iklan -
Luar Sana

Kebakaran hutan di Korea Selatan, 300 penduduk dipindahkan

Kerajaan tempatan mengeluarkan amaran bencana kepada penduduk setempat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah bangunan terbakar akibat kebakaran hutan di Gangneung, Korea Selatan, 11 April. Gambar: Reuters
Sebuah bangunan terbakar akibat kebakaran hutan di Gangneung, Korea Selatan, 11 April. Gambar: Reuters

Kebakaran yang melanda bandar Gangneung di timur laut Korea Selatan pada Selasa memusnahkan kira-kira 40 rumah dan bangunan, memusnahkan hutan seluas 144 padang bola, serta memaksa kira-kira 300 penduduk dan pelancong berpindah.

Kebakaran hutan dilaporkan berlaku di sebuah bukit di daerah Nangok-dong di Gangneung sekitar 8.30 pagi di tengah-tengah amaran angin kencang dan cuaca panas yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA), lapor agensi berita Yonhap.

Api merebak dengan pantas ke kawasan perumahan disebabkan angin kencang, serta memusnahkan 103 hektar kawasan hutan, 28 rumah, 12 pusat jagaan warga emas dan empat bangunan hotel, menurut pegawai bomba bandar itu. 

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Kerajaan tempatan mengeluarkan amaran bencana kepada penduduk setempat.

Pihak bomba meningkatkan postur tindak balas mereka ke tahap tertinggi dan lebih 1,410 anggota bomba dan 200 trak bomba, dikerah memadam kebakaran.