- Iklan -
Luar Sana

Arab Saudi sambut delegasi Iran, Syria ketika negara Asia Barat bersedia pulih hubungan

Dengan presiden Iran juga dijangka berada di Arab Saudi tidak lama lagi, dengan keyakinan semakin ketara untuk negara Teluk memulihkan hubungan mereka.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan bin Abdullah bertemu dengan Menteri Luar dan Ekspatriat Syria Faisal Mekdad di Jeddah, Arab Saudi, 12 April. Gambar: Reuters
Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan bin Abdullah bertemu dengan Menteri Luar dan Ekspatriat Syria Faisal Mekdad di Jeddah, Arab Saudi, 12 April. Gambar: Reuters

Arab Saudi menjadi tuan rumah delegasi utama dari Iran dan Syria semalam ketika negara-negara Teluk bersiap sedia untuk menjalin semula hubungan diplomatik selepas terjejas sejak sekian lama.

Hanya beberapa jam selepas media Iran melaporkan delegasinya telah mendarat di Riyadh, Arab Saudi mengumumkan ketibaan menteri luar Syria di Jeddah – lawatan pertama seumpamanya sejak perang saudara meletus pada 2011. 

Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata Menteri Luar Syria Faisal Mekdad bertemu dengan rakan sejawatannya dari Arab Saudi dan membincangkan "langkah yang perlu untuk mencapai penyelesaian politik yang lengkap kepada krisis Syria". 

Menurut kenyataan itu, matlamatnya adalah untuk mencapai "perdamaian nasional dan... membawa kembali Syria ke pangkuan Arab dan meneruskan peranan utamanya di dunia Arab". 

Kedua-dua diplomat itu juga mengesahkan bahawa beberapa langkah akan diambil untuk menyambung semula perkhidmatan konsular.

Mereka juga mengumumkan rancangan untuk menyambung semula penerbangan antara kedua-dua negara.

Dengan presiden Iran juga dijangka berada di Arab Saudi tidak lama lagi, dengan keyakinan semakin ketara untuk negara Teluk memulihkan hubungan mereka.

Malah, Arab Saudi akan mengadakan rundingan dengan pemberontak Huthi Yaman minggu ini dalam usaha untuk menamatkan pertempuran di sana.

"Pemimpin Iran dan Syria berada di Arab Saudi pada hari yang sama. Itu benar-benar gila dan tidak dapat dibayangkan beberapa bulan lalu," kata seorang diplomat Arab yang berpangkalan di Riyadh kepada AFP.

Wakil sembilan negara Arab akan bertemu di Jeddah esok bagi berbincang untuk membenarkan Presiden Syria Bashar al-Assad menghadiri sidang kemuncak Liga Arab bulan depan. 

Sebelum itu, Menteri Luar Syria Faisal Mekdad akan bertemu rakan sejawatannya dari Arab Saudi untuk membincangkan "usaha mencapai penyelesaian politik kepada krisis Syria yang memelihara perpaduan, keselamatan dan kestabilan Syria", menurut Kementerian Luar Arab Saudi.

Terdahulu, Tehran mengumumkan ketibaan delegasi Iran di Riyadh untuk membuka laluan kepada misi diplomatik selepas tujuh tahun terputus hubungan. 

Lawatan itu dibuat selepas delegasi Arab Saudi melakukan lawatan yang sama ke ibu negara Iran, dan susulan pertemuan bersejarah di China antara menteri luar kedua-dua kerajaan yang memberi komitmen untuk membawa kestabilan di wilayah bergolak itu. 

"Delegasi Iran akan mengambil langkah yang perlu untuk membuka semula kedutaan di Riyadh dan konsulat jeneral di Jeddah serta aktiviti wakil tetap Iran dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (yang berpangkalan di Jeddah)," kata Jurucakap Kementerian Luar Iran Nasser Kanani dalam satu kenyataan.

Presiden Iran Ebrahim Raisi telah dijemput ke Arab Saudi, menurut Tehran. 

Ia merupakan lawatan pertama seorang presiden Iran ke Arab Saudi sejak Mahmoud Ahmadinejad menghadiri mesyuarat serantau di Mekah pada 2012.