- Iklan -
Luar Sana

Masa depan Tupperware diragui di tengah-tengah kedudukan kewangan lemah

Capaian jenama itu berkurangan, dengan jumlah jualan tahunan merosot separuh sepanjang dekad lalu kepada hanya AS$1.3 bilion (RM5.72 bilion) pada 2022, ketika syarikat itu melaporkan kerugian sebanyak AS$14 juta.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Produk Tupperware dijual di kedai runcit di Chicago, Illinois, 10 April. Gambar: AFP
Produk Tupperware dijual di kedai runcit di Chicago, Illinois, 10 April. Gambar: AFP

Adakah era Tupperware akan berakhir? Syarikat berusia 77 tahun itu yang terkenal dengan bekas penyimpanan makanan berasakan plastik sebagai tanda dagangannya, memberi amaran mengenai "keraguan besar" terhadap keupayaannya untuk terus beroperasi memandangkan kedudukan kewangan yang lemah, menurut nota yang difailkan badan kawal selia baru-baru ini. 

Saham syarikat itu menjunam 50% sejak pasaran dibuka Isnin lalu dan kekal pada tahap tertekan dalam beberapa hari berturut-turut. Ia susulan pendedahan syarikat itu mengenai keadaan kewangannya pada 7 April lepas.

Bagaimanapun, semalam, sahamnya mengalami pemulihan separa, meningkat kira-kira 25%. 

Menurut lawan web syarikat itu, Tupperware ditubuhkan pada 1946, ketika seorang ahli kimia dikenali sebagai Earl Tupper “melakukan ledakan inspirasi sewaktu mencipta acuan di kilang plastik sejurus selepas krisis ekonomi terburuk era the Great Depression”.

"Jika beliau boleh mereka bentuk bekas penyimpanan plastik kedap udara, seperti yang ada pada tin cat, maka beliau boleh membantu keluarga yang terjejas akibat perang dengan menjimatkan wang untuk menyimpan sisa makanan yang mahal." 

Lama kelamaan, bekas plastik kedap udara Tupper juga dikaitkan dengan "Pesta Tupperware," di mana rakan-rakan akan berkumpul dengan makanan dan minuman sewaktu wakil syarikat menunjukkan barang-barang tersebut.

Pada Disember 2021, syarikat yang berpangkalan di Orlando, Florida itu mempunyai kira-kira 10,000 pekerja. 

Namun capaian jenama itu berkurangan, dengan jumlah jualan tahunan merosot separuh sepanjang dekad lalu kepada hanya AS$1.3 bilion (RM5.72 bilion) pada 2022, ketika syarikat itu melaporkan kerugian sebanyak AS$14 juta. 

"Tupperware sedang dilanda beberapa masalah termasuk penurunan mendadak dalam bilangan penjual, penarikan semula pengguna pada produk rumah, dan jenama itu masih tidak berhubung sepenuhnya dengan pengguna lebih muda," kata Neil Saunders dari GlobalData. 

"Syarikat itu pernah menjadi pusat inovasi kepada penyelesaian masalah peralatan dapur, tetapi ia semakin kehilangan taringnya."

Inisiatif syarikat untuk mendapatkan pengedaran melalui rantaian kotak besar Target menandakan percubaan untuk berubah, tetapi "jangkauannya sangat terhad berbanding jenama lain," kata Saunders.

Tupperware dalam kenyataan pada 7 April berkata syarikat itu telah mendapatkan penasihat kewangan "untuk membantu dalam mendapatkan pembiayaan tambahan, dan sedang terlibat dalam perbincangan dengan bakal pelabur atau rakan kongsi lain." 

Syarikat itu juga sedang menilai portfolio hartanahnya dan aset lain yang boleh dimanfaatkan "untuk memelihara atau dicairkan," menurut nota yang difailkan itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.