Pelancaran kapal angkasa Starship oleh syarikat SpaceX milik Elon Musk dijadualkan pada Isnin, 17 April, lapor Sputnik.
"Esok, pelancaran percubaan," kata Musk di Twitter pada Ahad.
SpaceX dalam ciapan di Twitter pada Ahad berkata tetingkap pelancaran 150 minit untuk Starship akan dibuka pada 8 pagi waktu Amerika Syarikat pada Isnin.
Musk memberitahu pengikut Twitter pada Ahad bahawa beliau bagaimanapun tidak mengharapkan kejayaan pelancaran SpaceX Starship dengan mengaitkannya dengan sejarah roket N1 Soviet, yang mempunyai reka bentuk roket yang sangat mengagumkan tetapi tidak pernah sampai ke orbit.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) pada Jumaat berkata ia memberi kelulusan kepada SpaceX untuk menjalankan ujian penerbangan pertama roket Starship dan Super Heavy bersepadu sepenuhnya yang sedang dibangunkan untuk membawa manusia ke Marikh.
FAA berkata lesen itu sah selama lima tahun.
FAA juga menyiarkan pelan operasi semasanya pada Jumaat dengan menyatakan Starship akan dilancarkan pada 17 April dari tapak pelancaran SpaceX di Boca Chica, Texas serta tarikh alternatif dari 18 hingga 21 April.
SpaceX membangunkan Starship kenderaan pelancar berat boleh guna semula sepenuhnya, yang dibangunkan untuk membawa anak kapal dan kargo ke orbit Bumi, Bulan, Marikh dan melewatinya.