- Iklan -
Luar Sana

Junta Myanmar beri pengampunan lebih 3,000 banduan sempena tahun baru

Kerajaan pimpinan tentera memenjarakan ribuan penentang dan aktivis pro-demokrasi dan secara kejam menghentikan bantahan yang mengundang kecaman global.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Askar bersiap sedia untuk melakukan sekatan jalan di hadapan Bank Negara Myanmar di Yangon pada 15 Februari 2021, ketika junta Myanmar mengerahkan tentera tambahan di seluruh negara sebagai sebahagian daripada rampasan kuasa tentera yang sedang berlangsung. Gambar: AFP
Askar bersiap sedia untuk melakukan sekatan jalan di hadapan Bank Negara Myanmar di Yangon pada 15 Februari 2021, ketika junta Myanmar mengerahkan tentera tambahan di seluruh negara sebagai sebahagian daripada rampasan kuasa tentera yang sedang berlangsung. Gambar: AFP

Junta Myanmar membebaskan 3,113 banduan, termasuk 98 warga asing sempena sambutan Tahun Baharu negara itu hari ini, demikian menurut kenyataan kerajaan tentera yang diterbitkan di saluran Telegram pro-tentera. 

Sejak rampasan kuasa pada 2021, kerajaan pimpinan tentera memenjarakan ribuan penentang dan aktivis pro-demokrasi dan secara kejam menghentikan bantahan yang mengundang kecaman global.

Setiausaha kerajaan junta, Leftenan Jeneral Aung Lin Dwe, dalam satu kenyataan berkata pengampunan itu sempena “perayaan Tahun Baharu Myanmar bagi membawa kegembiraan kepada rakyat dan menangani kebimbangan kemanusiaan”.

Jurucakap junta bagaimanapun tidak menjawab panggilan telefon untuk mendapatkan maklum balas dan setakat ini tidak jelas siapa yang termasuk dalam senarai pengampunan itu.

Pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, yang juga pemenang anugerah Nobel dan ketua penentang pemerintahan tentera, sedang menjalani hukuman penjara 33 tahun selepas perbicaraan segera yang dikutuk di peringkat antarabangsa sebagai penipuan.

Junta juga telah menahan anggota kanan kerajaan awamnya yang digulingkan tentera dalam rampasan kuasa 2021. 

Sekurang-kurangnya 17,460 orang kekal dalam tahanan dan 3,240 dibunuh oleh junta, menurut sebuah kumpulan aktivis, Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik. 

Junta secara berkala memberikan pengampunan kepada banduan, namun jumlahnya pada tahun ini dan pada 2022 adalah sebahagian kecil daripada 23,000 yang dibebaskan ketika sambutan yang sama pada 2021. 

Pertubuhan hak asasi manusia dan ramai pemimpin dunia berulang kali meminta junta membebaskan semua tahanan politik.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.