- Iklan -
Luar Sana

Kebakaran pusat beli-belah Bangladesh berjaya dipadamkan selepas 27 jam

Kira-kira 30 orang, kebanyakannya anggota bomba, cedera semasa usaha memadamkan api, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Bernama & Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pandangan udara menunjukkan anggota bomba cuba memadamkan kebakaran yang berlaku di pusat pakaian popular dikenali sebagai Pasar Bangabazar di Dhaka, Bangladesh, 4 Apri lalu. Gambar: Reuters
Pandangan udara menunjukkan anggota bomba cuba memadamkan kebakaran yang berlaku di pusat pakaian popular dikenali sebagai Pasar Bangabazar di Dhaka, Bangladesh, 4 Apri lalu. Gambar: Reuters

Anggota bomba akhirnya berjaya memadamkan kebakaran sebuah pusat beli belah tiga tingkat di Dhaka, Bangladesh pada Sabtu lalu.

Operasi pemadaman yang mengambil masa kira-kira 27 jam itu turut dibantu oleh anggota tentera. 

Menurut bomba, ini adalah kejadian kedua seumpamanya berlaku ke atas pusat beli-belah tersebut dalam tempoh dua minggu.

Kira-kira 30 orang, kebanyakannya anggota bomba, cedera semasa usaha memadamkan api, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. 

Kebakaran berlaku pada awal pagi Sabtu, ketika kebanyakan hampir 1,500 kedai di kompleks itu ditutup.

Pegawai Bomba Shahjahan Sikder berkata, meskipun api berjaya dikawal dalam tempoh empat jam, namun ia mengambil masa lebih lama untuk memadamkan sepenuhnya berikutan asap tebal di ruang tertutup dan bahan mudah terbakar yang kebanyakannya pakaian.

Kebanyakan kedai di bangunan tiga tingkat itu dipenuhi stok persiapan menjelang perayaan Aidilfitri yang akan disambut hujung bulan ini. 

Imej menunjukkan beberapa pekedai dan anggota polis menyeret keluar bungkusan barangan bagi menyelamatkan stok yang ada.

“Aidilfitri semakin hampir, dan kami hilang segala-galanya. Krisis yang sebegitu besar menimpa kami sekelip mata,” kata pemilik kedai Mohammad Rubel. 

Ia adalah kejadian kedua seumpamanya bulan ini. Sebelum ini, kebakaran besar melanda sebuah lagi kompleks beli-belah di Dhaka pada 4 April lalu yang memusnahkan kira-kira 5,000 kedai. Beberapa anggota bomba cedera ketika kejadian itu. 

Peraturan longgar dan penguatkuasaan lemah telah mengakibatkan kebakaran industri yang melanda Bangladesh. 

Negara dan jenama pakaian antarabangsa utama yang mengeluarkannya berada di bawah pengawasan ketat selepas beberapa bencana, termasuk kebakaran di kilang pakaian pada 2012 dan sebuah bangunan runtuh pada 2013 yang mengorbankan lebih 1,200 pekerja. 

Meskipun industri pakaian mengorak langkah untuk meningkatkan keselamatan, ratusan rakyat negara itu masih terkorban dalam kebakaran di sektor lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.