Bungkusan-bungkusan kokain bernilai lebih €400 juta (RM1.94 bilion) telah ditemui terapung di pesisir pantai Sicily, dipercayai ditinggalkan oleh sebuah kapal kargo untuk dibawa ke darat oleh pengedar, kata polis Itali semalam.
Dalam rampasan dadah antara terbesar di Itali itu, polis berjaya menemui 70 bungkusan yang diikat bersama dan mengandungi kira-kira dua tan (2,000kg) kokain di pesisir pantai timur Sicily.
Menurut polis, bungkusan yang terdiri daripada kira-kira 1,600 ketulan dadah dengan alat pengesan itu dikesan oleh pesawat pengawasan tentera laut.
Kokain itu "kemungkinan ditinggalkan di laut oleh salah satu kapal kargo yang sering melalui pantai itu, kemudiannya ditemui dan diangkut ke darat," katanya dalam satu kenyataan.
Kargo itu mempunyai nilai lebih €400 juta, katanya.
Walaupun Sicily adalah rumah kepada mafia Cosa Nostra yang diabadikan dalam filem Godfather, namun kumpulan penjenayah terancang paling berpengaruh di negara itu adalah 'Ndrangheta yang kaya dan berkuasa.
'Ndrangheta berpangkalan di wilayah Calabria merentasi Selat Messina dari Sicily, dan banyak terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah, termasuk mengawal kebanyakan kokain ke Eropah.