- Iklan -
Luar Sana

PBB ramal India miliki 2.9 juta lebih penduduk berbanding China menjelang pertengahan 2023

Meskipun India dan China akan menyumbang lebih daripada satu pertiga daripada anggaran populasi global sebanyak 8.045 bilion, pertumbuhan penduduk di kedua-dua gergasi Asia itu telah menjadi perlahan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menghadiri majlis anugerah ketika cuaca panas terik di pinggir Mumbai, India, 16 April. Gambar: Reuters
Orang ramai menghadiri majlis anugerah ketika cuaca panas terik di pinggir Mumbai, India, 16 April. Gambar: Reuters

India bakal menjadi negara paling ramai penduduk di dunia, mengatasi China dengan hampir 3 juta lagi penduduk pada pertengahan tahun ini, demikian menurut data yang didedahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hari ini. 

Data demografi daripada “State of World Population Report, 2023” bagi Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), menganggarkan populasi India pada 1,428.6 juta atau 1.4286 bilion orang berbanding 1.4257 bilion rakyat China. 

Data itu juga menunjukkan, Amerika Syarikat (AS) memiliki populasi penduduk satu pertiga daripada dua negara tersebut, dengan anggaran populasi 340 juta. 

Data tersebut adalah berdasarkan maklumat setakat Februari 2023, menurut laporan itu. 

Pakar penduduk yang menggunakan data sebelumnya dari PBB telah mengunjurkan India akan melepasi China bulan ini. 

Tetapi laporan terbaru daripada badan global itu tidak menyatakan tarikh bila perubahan itu akan berlaku. 

Pegawai penduduk PBB berkata adalah tidak mungkin untuk menentukan tarikh kerana "ketidakpastian" tentang data yang keluar dari India dan China, terutamanya sejak bancian terakhir di India dijalankan pada 2011 dan banci seterusnya pada 2021 ditangguhkan kerana pandemik. 

Meskipun India dan China akan menyumbang lebih daripada satu pertiga daripada anggaran populasi global sebanyak 8.045 bilion, pertumbuhan penduduk di kedua-dua gergasi Asia itu telah menjadi perlahan, pada kadar yang lebih pantas di China berbanding di India.

Tahun lepas, penduduk China susut buat kali pertama dalam enam dekad, satu rekod bersejarah yang dijangka menandakan permulaan tempoh kemerosotan yang panjang dalam bilangan rakyatnya dengan implikasi mendalam terhadap ekonominya dan dunia. 

Pertumbuhan penduduk tahunan India purata 1.2% sejak 2011, berbanding 1.7% dalam 10 tahun sebelumnya, menurut data kerajaan. 

"Penemuan tinjauan India menunjukkan bahawa kebimbangan penduduk telah meresap ke dalam sebahagian besar orang awam," kata Andrea Wojnar, Wakil UNFPA India, dalam satu kenyataan. 

“Namun, bilangan penduduk tidak seharusnya mencetuskan kebimbangan atau menimbulkan amaran. Sebaliknya, ia harus dilihat sebagai simbol kemajuan, pembangunan dan aspirasi jika hak dan pilihan individu ditegakkan,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.