- Iklan -
Luar Sana

270 terbunuh dalam konflik ketenteraan di Sudan

Tentera Sudan mendakwa pengumuman oleh RSF mengenai gencatan senjata 24 jam itu bertujuan menutup kekalahan dan kehancuran pasukan itu dalam tempoh beberapa jam lagi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berkumpul di stesen bas untuk melarikan diri dari Khartoum semasa pertempuran antara pasukan separa tentera Rapid Support Forces dan tentera di Khartoum, Sudan, 19 April. Gambar: Reuters
Orang ramai berkumpul di stesen bas untuk melarikan diri dari Khartoum semasa pertempuran antara pasukan separa tentera Rapid Support Forces dan tentera di Khartoum, Sudan, 19 April. Gambar: Reuters

Pertempuran antara Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di Sudan telah mengorbankan kira-kira 270 orang dan mencederakan lebih 2,600 sehingga Selasa, dengan tembakan dan letupan masih kedengaran merentasi bandar itu.

Pertempuran ganas bersambung semula pada pagi Selasa berhampiran kem tentera Sudan, istana presiden, Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum, dan di beberapa kawasan di pangkalan RSF di selatan ibu negara, menurut laporan media.

Pada Selasa, RSF mengumumkan ia menerima inisiatif antarabangsa untuk gencatan senjata dengan tentera Sudan selama 24 jam atas sebab kemanusiaan, manakala tentera Sudan dalam satu kenyataan mendakwa ia tidak mengetahui sebarang koordinasi dengan pengantara serta masyarakat antarabangsa mengenai gencatan senjata itu.

Tentera Sudan mendakwa pengumuman oleh RSF mengenai gencatan senjata 24 jam itu bertujuan menutup kekalahan dan kehancuran pasukan itu dalam tempoh beberapa jam lagi.

Anggota bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa berkata operasi kemanusiaan mereka terhad disebabkan keadaan yang semakin buruk di seluruh Sudan ekoran pertempuran yang berlaku.

"Keupayaan terhad untuk memindahkan kakitangan dan bekalan," kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB.

"Rompakan premis kemanusiaan mesti dihentikan. Serangan ke atas aset dan kemudahan kemanusiaan akan menjejaskan keupayaan kami untuk meneruskan operasi menyelamat nyawa," katanya.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata terdapat laporan bahawa beberapa kemudahan perubatan di Sudan dirompak atau digunakan untuk tujuan ketenteraan, selain hospital di negara itu mengalami kekurangan kakitangan perubatan dan bekalan, gangguan bekalan elektrik, air, kekurangan bahan api untuk penjana kuasa dan faktor lain yang menimbulkan cabaran kepada pekerja kesihatan dan ambulans yang meletakkan lebih banyak nyawa dalam bahaya, lapor Xinhua.

"WHO menggesa semua pihak supaya mematuhi kewajipan mereka mengikut undang-undang antarabangsa. Kemudahan penjagaan kesihatan dan pekerja tidak boleh menjadi sasaran, terutama dalam keadaan terdapat ribuan orang awam memerlukan akses kepada rawatan kecemasan," katanya.

Kementerian Luar Sudan pada Selasa menuduh RSF menyerang ibu pejabat misi diplomatik di ibu negara

“Langkah terdesak oleh pemberontak Rapid Support Forces menggunakan kenderaan berperisai dan senjata berat di kawasan kediaman dan tempat awam meletakkan ibu pejabat dan kakitangan misi diplomatik serta organisasi antarabangsa dan serantau dalam bahaya,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pertempuran antara Tentera Sudan dan RSF meletus pada pagi Sabtu. Kedua-dua pihak menggunakan kereta kebal, artileri, jet pejuang dan senjata berat lain dalam pertempuran mereka.