Menteri kesihatan Australia hari ini mengumumkan tindakan tegas terhadap penggunaan dan penjualan vape, menuduh syarikat tembakau sengaja memikat remaja untuk menjadi "generasi penagih nikotin" seterusnya.
Dibentangkan sebagai pembaharuan anti-merokok terbesar di negara ini dalam tempoh sedekad, Australia akan mengharamkan vape pakai buang, menghentikan import versi bukan preskripsi dan menyekat jumlah kandungan nikotin e-rokok atau rokok elektronik.
Australia adalah negara terawal cubaan untuk menghentikan tabiat merokok, dan pada 2012 menjadi negara pertama yang memperkenalkan undang-undang "pembungkusan biasa" untuk rokok – dasar yang ditiru oleh Perancis, Britain dan negara lain.
Cukai berat ke atas jualan tembakau bermakna Australia mempunyai beberapa rokok paling mahal di dunia – dijual sekitar A$50 (RM148) untuk sebungkus 25 batang rokok.
Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Australia bergelut untuk membendung ledakan budaya vape terutamanya dalam kalangan remaja.
"Menghisap vape telah menjadi masalah tingkah laku nombor satu di sekolah menengah. Dan ia semakin meluas di sekolah rendah," kata Menteri Kesihatan Mark Butler dalam ucapannya.
"Sama seperti yang mereka lakukan dengan merokok, Big Tobacco telah mengambil satu lagi produk ketagihan, membungkusnya dalam pembungkusan berkilat dan menambah perisa untuk melahirkan generasi baharu penagih nikotin."
Orang ramai masih dibenarkan menggunakan vape, dengan preskripsi, sebagai alat untuk berhenti merrokok.
"Vape telah dijual kepada kerajaan dan komuniti di seluruh dunia sebagai produk terapeutik untuk membantu perokok berhenti dalam jangka masa panjang," kata Butler.
"Ia tidak dijual sebagai produk rekreasi – terutamanya bukan untuk anak-anak kita."
Australia merekodkan kadar merokok harian terendah di dunia, menurut Institut Kesihatan dan Kebajikan Australia, tetapi menyaksikan peningkatan dalam bilangan golongan bawah 25 tahun yang menghisap rokok.
Persatuan Perubatan Australia dan Majlis Kanser Australia telah memuji pembaharuan kerajaan.