Kira-kira 782,000 orang menyertai protes Hari Pekerja Antarabangsa tahun ini di seluruh Perancis, menurut Kementerian Dalam Negeri pada Isnin.
Protes itu berlaku di tengah-tengah ketegangan sosial berikutan kelulusan rang undang-undang pembaharuan pencen yang mencetuskan kontroversi tahun lepas.
Bantahan itu bertukar ganas di bandar-bandar utama termasuk Paris, Lyon, dan Marseille, lapor Xinhua.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin, sekurang-kurangnya 108 polis dan polis tentera cedera semasa protes itu.
Seorang pegawai polis melecur di muka dan lengan apabila terkena bom molotov yang dibaling oleh penunjuk perasaan di Paris.
Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne mengutuk keganasan terhadap pasukan keselamatan itu dengan berkata keganasan di luar perarakan tidak boleh diterima.
Pada 14 April, Majlis Perlembagaan Perancis memutuskan umur persaraan sah dinaikkan secara beransur-ansur daripada 62 kepada 64 menjelang 2030.
Borne pertama kali membentangkan butiran pelan pembaharuan pencen pada Januari yang turut memperkenalkan pencen minimum yang terjamin dan mulai 2027 kakitangan awam perlu bekerja sekurang-kurangnya 43 tahun untuk layak mendapat pencen penuh.