- Iklan -
Luar Sana

Lebih 800,000 mungkin larikan diri daripada keganasan di Sudan, kata PBB

Anggaran itu termasuk kira-kira 580,000 rakyat Sudan, dengan pelarian dari Sudan Selatan dan tempat lain.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan anggota tentera dan mangsa terakhir yang menaiki pesawat RAF menuju ke Cyprus, ketika hari terakhir pemindahan, di Pangkalan Udara Wadi Seidna, di Sudan 29 April. Gambar: Reuters
Pemandangan anggota tentera dan mangsa terakhir yang menaiki pesawat RAF menuju ke Cyprus, ketika hari terakhir pemindahan, di Pangkalan Udara Wadi Seidna, di Sudan 29 April. Gambar: Reuters

Lebih 800,000 orang mungkin melarikan diri dari Sudan akibat pertempuran antara puak tentera, termasuk ramai yang sudah datang ke sana sebagai pelarian, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.

"Tanpa penyelesaian segera krisis ini, kita akan terus melihat lebih ramai terpaksa melarikan diri untuk mencari tempat selamat dan bantuan asas," kata Raouf Mazou pada taklimat negara anggota di Geneva.

"Dengan rundingan bersama semua kerajaan dan rakan kongsi berkenaan, kami telah mencapai angka 815,000 orang yang mungkin melarikan diri ke tujuh negara jiran." 

Anggaran itu termasuk kira-kira 580,000 rakyat Sudan, katanya. Ini termasuk pelarian yang datang dari Sudan Selatan dan tempat lain. 

Setakat ini, beliau berkata kira-kira 73,000 orang telah melarikan diri ke negara jiran Sudan – Sudan Selatan, Chad, Mesir, Eritrea, Ethiopia, Republik Afrika Tengah dan Libya.

Ketua bantuan PBB Martin Griffiths akan melawat Sudan pada Selasa, kata Ramesh Rajasingham dari Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan. 

Griffiths berada di Nairobi, Kenya, pada Isnin untuk membincangkan situasi di Sudan yang disifatkannya sebagai "malapetaka." 

"Kita perlu mencari cara untuk mendapatkan bantuan ke negara ini dan mengagihkannya kepada mereka yang memerlukan," tulis Griffiths di Twitter. 

Dalam pada itu, Penyelaras Kemanusiaan PBB di Sudan berkata krisis kemanusiaan itu bertukar menjadi "malapetaka besar" dan risiko limpahan ke negara jiran membimbangkan. 

"Sudah lebih dua minggu pertempuran dahsyat di Sudan, konflik yang mengubah krisis kemanusiaan Sudan menjadi malapetaka yang besar," kata Abdou Dieng kepada negara anggota melalui pautan video.