- Iklan -
Luar Sana

Menteri luar China puji 'persahabatan' Myanmar dalam lawatan rasminya

Qin Gang dalam rangka lawatan ke Myanmar dan India dari 2 hingga 5 Mei ini.

Bernama & Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua junta Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, yang menggulingkan kerajaan yang dipilih dalam rampasan kuasa pada 1 Februari 2021, memeriksa perarakan tentera pada Hari Angkatan Tentera di Naypyitaw, Myanmar, 27 Mac 2021. Gambar: Reuters
Ketua junta Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, yang menggulingkan kerajaan yang dipilih dalam rampasan kuasa pada 1 Februari 2021, memeriksa perarakan tentera pada Hari Angkatan Tentera di Naypyitaw, Myanmar, 27 Mac 2021. Gambar: Reuters

Menteri luar China bertemu dengan pemimpin junta Myanmar di Naypyidaw untuk membincangkan krisis di negara Asia Tenggara itu dan mengukuhkan hubungan dua hala, lapor stesen televisyen Myanmar, MRTV pada Selasa. 

Qin Gang berkata selepas pertemuan dengan ketua junta Min Aung Hlaing, lawatannya "bukan sahaja menunjukkan persahabatan kedua-dua negara tetapi juga pendirian China terhadap Myanmar di pentas dunia”. 

Myanmar berada dalam kegawatan politik dan ekonomi sejak tentera menggulingkan kerajaan pemenang Hadiah Nobel Aung San Suu Kyi yang dipilih secara sah pada 2021 dan mengetuai serangan maut ke atas penentang prodemokrasi. 

Kebanyakan masyarakat global, terutamanya kuasa Barat, semakin menjauhi junta, tetapi China dan Rusia kekal sebagai sekutu teguh rejim tentera. 

Menurut MRTV, Qin membincangkan kestabilan dan pembangunan Myanmar dengan jeneral itu.

"Mereka bertukar pendapat mengenai situasi politik di Myanmar dan tindakan untuk kestabilan dan pembangunan, meningkatkan perdagangan sempadan, dan kerjasama mengenai tenaga, termasuk pelaburan," kata penyiar itu. 

Qin melawat Myanmar dan India dari 2 hingga 5 Mei, demikian menurut Kementerian Luar China dalam satu kenyataan awal pada Selasa, sambil menambah bahawa di India beliau akan menghadiri mesyuarat menteri luar dari perkumpulan Pertubuhan Kerjasama Shanghai.