- Iklan -
Luar Sana

Erdogan gelar pembangkang ‘pro-LGBT’ ketika kempen pilihan raya

Erdogan memperhebat sindirannya terhadap komuniti LGBT sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berucap kepada penyokongnya semasa perhimpunan menjelang pilihan raya presiden dan parlimen pada 14 Mei ini di Istanbul, Turkiye, 7 Mei. Gambar: Reuters
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berucap kepada penyokongnya semasa perhimpunan menjelang pilihan raya presiden dan parlimen pada 14 Mei ini di Istanbul, Turkiye, 7 Mei. Gambar: Reuters

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menuduh pembangkang sebagai "pro golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)" pada kempennya di Istanbul semalam, ketika beliau meningkatkan sindiran terhadap lawannya menjelang seminggu sebelum pilihan raya pada 14 Mei ini.

Di tempat lain, penunjuk perasaan membaling batu ke arah Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, ahli pembangkang utama Parti Rakyat Republikan (CHP), sewaktu kempen pilihan raya di timur bandar Erzurum, kubu kuat Parti AK (AKP) yang diterajui Erdogan. 

Imamoglu kemudian mendakwa sembilan orang cedera pada acara itu. 

Turkiye dijangka mengadakan pilihan raya presiden dan parlimen pada 14 Mei dan tinjauan pendapat menunjukkan Erdogan berdepan cabaran getir dalam dua tempoh dekad pemerintahannya. 

Pada perhimpunannya di Istanbul, presiden merayu kepada pengundi Islam konservatifnya.

"Parti AK dan parti lain dalam perikatan kami tidak akan pro-LGBT kerana keluarga adalah suci bagi kami.

"Kami akan kuburkan mereka yang pro-LGBT dalam peti undi," katanya yang melabelkan golongan itu sebagai 'penyeleweng'.

Erdogan telah memperhebat sindirannya terhadap komuniti LGBT sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kerap melabelkan ahli sebagai "penyeleweng". 

Semalam, beliau juga dilaporkan menyerang pesaing utamanya dalam pilihan raya Kemal Kilicdaroglu, yang mengetuai pakatan pembangkang utama. 

"Orang saya tidak akan membenarkan peminum arak dan pemabuk naik ke pentas," kata Erdogan.

"Encik Kemal, anda boleh minum bertong-tong, tiada apa yang boleh menyembuhkan anda," katanya.

"Bangsa saya akan membuat respons yang diperlukan pada 14 Mei. Kami tidak akan membenarkan Kilicdaroglu, yang berganding bahu dengan pengganas, memecahbelahkan tanah air kami," kata Erdogan.

Erdogan juga menuduh Kilicdaroglu mendapat sokongan daripada Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang telah melancarkan pemberontakan sejak 1980-an di mana lebih 40,000 orang telah terbunuh. 

Ia dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Pembangkang sebelum ini mengecam dakwaan Erdogan yang mengaitkan mereka dengan pengganas sebagai retorik kempen yang memecahbelahkan dan berbahaya. 

Pada acara di Erzurum, Imamoglu, yang akan menjadi naib presiden jika Kilicdaroglu memenangi pilihan raya, sedang berucap kepada penyokongnya dari atas bas ketika ramai melemparkan batu ke arahnya dan penyokongnya. 

Imamoglu memendekkan ucapannya dan meninggalkan tempat kejadian di dalam bas.

"Kami terpaksa beredar demi keselamatan anda," kata Imamoglu kepada penyokongnya, sambil menambah bahawa beliau akan memfailkan aduan jenayah terhadap gabenor Erzurum dan ketua polis kerana membenarkan keganasan. 

Rakaman menunjukkan sekurang-kurangnya seorang cedera di muka. 

"Gabenor Erzurum menelefon dan memberitahu saya bahawa tujuh orang cedera. Saya bercakap dengan sembilan orang yang cedera pada masa ini," tulisnya di Twitter. 

Pada Pilihan Raya Presiden 2018, Erdogan memenangi 72% undi di Erzurum.