- Iklan -
Luar Sana

Presiden Indonesia kutuk serangan terhadap pegawai Asean salur bantuan di Myanmar

Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi, tidak memberikan butiran mengenai insiden itu tetapi berkata kejadian terbabit tidak akan menghalang usaha Indonesia dan Asean untuk mendesak keamanan di Myanmar.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Indonesia Joko Widodo. Gambar: Reuters
Presiden Indonesia Joko Widodo. Gambar: Reuters

Presiden Indonesia Joko Widodo pada hari Isnin mengutuk serangan ke atas pegawai Asean yang menyampaikan bantuan kemanusiaan di Myanmar, dan menyeru agar keganasan dihentikan di negara yang dilanda perselisihan itu. 

Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi, tidak memberikan butiran mengenai insiden itu tetapi berkata kejadian terbabit tidak akan menghalang usaha Indonesia dan Asean untuk mendesak keamanan di Myanmar. 

"Berhenti menggunakan kekerasan, hentikan keganasan kerana rakyat yang akan menjadi mangsa.

“Keadaan ini tidak akan menyebabkan sesiapa menang," katanya sambil menambah Indonesia menggalakkan semua pihak berkepentingan untuk berdialog dan mencari penyelesaian. 

Ia masih tidak jelas siapa dalang disebalik serangan itu. 

Kerajaan bayangan Perpaduan Myanmar, yang bersekutu dengan militan anti-junta, Angkatan Pertahanan Rakyat (PDF), berkata ia tidak mengetahui sebarang serangan. 

Reuters cuba mendapatkan maklumat daripada PDF namun tidak berjaya. 

Jurucakap junta Myanmar turut enggan mengulas insiden itu.