- Iklan -
Luar Sana

Dorongan global tangani kematian ibu dan bayi baru lahir terbantut, menurut laporan WHO

Setiap tahun sejak 2015 terdapat kira-kira 290,000 kematian ibu, 1.9 juta kematian ketika dalam kandungan dan 2.3 juta kematian melibatkan bayi yang baru dilahirkan dalam tempoh sebulan, kata laporan itu.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Figura kecil dilihat di hadapan logo Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang dipaparkan dalam ilustrasi yang diambil pada 11 Februari 2022. Gambar: Reuters
Figura kecil dilihat di hadapan logo Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang dipaparkan dalam ilustrasi yang diambil pada 11 Februari 2022. Gambar: Reuters

Kemajuan dalam mengurangkan jumlah kematian ketika mengandung dan melahirkan anak serta dalam kalangan bayi baru lahir terbantut sejak 2015.

Malah, lebih 60 negara berada di landasan untuk melepasi sasaran 2030 pada kadar semasa, demikian menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang dikeluarkan hari ini. 

Pandemik Covid-19, kemiskinan dan krisis kemanusiaan yang semakin teruk menjejaskan sistem penjagaan kesihatan, kata agensi PBB itu dalam satu kenyataan. 

Setiap tahun sejak 2015 terdapat kira-kira 290,000 kematian ibu, 1.9 juta kematian ketika dalam kandungan dan 2.3 juta kematian melibatkan bayi yang baru dilahirkan dalam tempoh sebulan, kata laporan itu.

Jumlah gabungan itu mewakili satu kematian setiap tujuh saat, "kebanyakan penyebab kematian boleh dicegah atau dirawat jika penjagaan yang betul tersedia,” kata WHO. 

Negara-negara perlu meningkatkan pelaburan dalam penjagaan primer untuk melihat hasil yang berbeza, kata Pengarah Kesihatan dan Penuaan Ibu, Bayi Baru Lahir, Kanak-kanak serta Remaja WHO, Anshu Banerjee.

Lebih 190 negara menyokong rancangan pada 2014 untuk mengurangkan kadar kematian dalam kandungan dan korban yang boleh dicegah dalam kalangan bayi, dan seterusnya menetapkan sasaran global seperti mengurangkan nisbah kematian ibu kepada kurang 70 setiap 100,000 kelahiran. 

Menurut laporan itu, unjuran menunjukkan keperluan untuk mempercepatkan kemajuan bagi memenuhi sasaran tersebut yang boleh membantu menyelamatkan sekurang-kurangnya 7.8 juta nyawa menjelang 2030. 

Laporan menunjukkan, kemajuan adalah lebih pantas antara 2000 dan 2010 berbanding pada bila-bila masa sejak itu, sambil menyalahkan kekangan pembiayaan antara penyebab utama. 

Menurut laporan itu, hanya 12% daripada 106 negara pelapor telah membiayai sepenuhnya pelan kesihatan ibu dan bayi baru lahir. 

Laporan itu juga mendapati hanya 61% negara pelapor mempunyai sistem untuk menjejaki kematian dalam kandungan. 

Laporan itu mendapati bahawa 10 negara dengan kematian ibu, kematian dalam kandungan dan kematian di awal kelahiran tertinggi menyumbang 60% daripada jumlah kematian tersebut di seluruh dunia. 

India, Nigeria dan Pakistan mengetuai senarai itu pada 2020, menurut laporan itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.