- Iklan -
Berita

Thaksin suarakan hasrat kembali ke Thailand pada Julai

Thaksin yang dilantik sebagai perdana menteri dari 2001 hingga sebelum digulingkan pada 2006, membina empayar politik dengan mempengaruhi jutaan pengundi kelas pekerja yang kehilangan hak dengan dasar populis.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra berucap sewaktu temu bual di Tokyo pada 23 Ogos 2011. Gambar: Reuters
Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra berucap sewaktu temu bual di Tokyo pada 23 Ogos 2011. Gambar: Reuters

Jutawan dan bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra mengumumkan hasrat untuk kembali ke tanah air pada bulan Julai selepas 17 tahun hidup dalam buangan.

Hasrat itu diumumkan sendiri beliau di Twitter hanya beberapa hari sebelum pilihan raya yang akan dimenangi partinya, Pheu Thai. 

Thaksin boleh dikatakan bekas pemimpin paling berpengaruh dan memecahbelahkan Thailand.

Walaupun Thaksin, 73, telah gagal memenuhi banyak ikrar untuk kembali, namun kenyataannya di Twitter adalah kali pertama dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila beliau menetapkan jangka masa.

"Saya memohon kebenaran sekali lagi. Saya telah memutuskan untuk pulang berjumpa cucu saya dalam bulan Julai, sebelum hari lahir saya," katanya. 

"Saya mahukan kebenaran," tambahnya, tanpa memberitahu dari siapa beliau memintanya. 

"Sudah 17 tahun saya berpisah dengan keluarga. Saya sudah tua." 

Bekas kolonel polis dan individu paling berkuasa dalam sektor telekomunikasi itu telah menjadi perhatian besar dalam arena politik Thailand sejak penyingkirannya sewaktu rampasan kuasa 2006 dan hidup dalam buangan pada 2008 untuk mengelakkan hukuman penjara atas dakwaan salah guna kuasa, satu pertuduhan yang ditegaskannya sebagai bermotifkan politik.

Kenyataannya itu dibuat ketika Pheu Thai, sebuah parti yang dikawal oleh keluarga dan sekutu perniagaannya, mendahului tinjauan pendapat menjelang pengundian 14 Mei, seperti yang dilakukan oleh pendahulunya sebelum memenangi setiap kali pilihan raya sejak 2001. 

Tinjauan terbaru menunjukkan parti-parti dalam pakatan pemerintah yang disokong tentera jauh di belakang Pheu Thai dan parti pembangkang lain, Move Forward. 

Anak perempuan bongsu Thaksin, Paetongtarn, 36, merupakan salah seorang calon perdana menteri Pheu Thai dan selamat melahirkan anak keduanya minggu lalu. 

Dalam komen Twitter, Thaksin berkata beliau tidak akan "menjadi beban kepada Pheu Thai" dan kepulangannya akan mengikut proses perundangan sedia ada. 

Beliau tidak menghuraikan. 

Dalam pada itu, jurucakap kerajaan bagaimanapun enggan mengulas mengenai kemungkinan kepulangan Thaksin.

Thaksin telah menghabiskan sebahagian kehidupannya di Dubai atau di London, di mana beliau menjadi terkenal kerana membeli kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Manchester City pada tahun 2007. 

Pelaburan awalnya mengukuhkan pasukan yang bergelut dan kemudiannya memenangi enam kejuaraan liga di bawah pemilik baharu. 

Thaksin yang dilantik sebagai perdana menteri dari 2001 hingga penggulingannya pada 2006, membina empayar politik dengan mempengaruhi jutaan pengundi kelas pekerja yang kehilangan hak dengan dasar populis. 

Namun keluarga dan kumpulan perniagaannya itu dihina oleh beberapa keluarga dan institusi paling berkuasa di Thailand, termasuk tentera.