- Iklan -
Luar Sana

Thaksin masih perlu jalani hukuman penjara jika pulang ke tanah air, kata TPM Thailand

Wissanu Krea-ngam berkata Thaksin berkemungkinan akan menghadapi tiga senario undang-undang yang berbeza.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra. Gambar: AFP

Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra, masih perlu menjalani hukuman penjara jika pulang ke tanah air, tegas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kehakiman Wissanu Krea-ngam.

Beliau berkata Thaksin berkemungkinan akan menghadapi tiga senario undang-undang yang berbeza, termasuk menjalani hukuman di mana mahkamah mendapati beliau bersalah, menunggu keputusan kes yang masih berjalan, dan keputusan mahkamah mendapati beliau tidak bersalah.

Wissanu menafikan Thaksin akan diletakkan di bawah tahanan rumah.

Thaksin perlu berada dalam tahanan sebelum memohon ikat jamin semasa proses rayuan, seperti banduan lain, katanya sebagai menjawab mengenai kemungkinan Thaksin akan pulang ke tanah air pada Julai.

"Banduan mesti dihantar ke pusat tahanan dan tahanan rumah bukanlah alternatif yang dibenarkan," katanya hari ini.

Ketika ditanya kemungkinan Thaksin memohon pengampunan diraja, Wissanu berkata banduan mesti menjalani sekurang-kurangnya lapan tahun atau satu pertiga daripada tempoh penjara mereka.

Hari ini, dalam ciapan di Twitter melalui @ThaksinLive, Thaksin berkata: “Saya memohon kebenaran sekali lagi. Saya telah memutuskan untuk pulang ke rumah untuk menjaga cucu saya pada Julai, sebelum hari lahir saya.

“Sudah 17 tahun saya berpisah dengan keluarga. Saya sudah tua,” menurut ciapnya.

‘Keinginannya’ untuk pulang disuarakan beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum Thailand pada Ahad di mana partinya Pheu Thai Party dijangka menang. 

Anak perempuan bongsunya Paetongtarn Shinawatra adalah seorang daripada tiga calon perdana menteri.

Dalam ciapan berasingan, beliau berkata kepulangannya tidak akan membebankan Parti Pheu Thai.

“Saya akan menjalani proses undang-undang, ketika itu negara ini dipimpin oleh kerajaan sementara Prayuth.

"Ia adalah keputusan saya sendiri kerana cinta dan ikatan kekeluargaan dan tanah air saya," katanya.

Thaksin, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2001 hingga 2006, telah hidup dalam buangan sejak 2008, menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai, selepas kerajaannya digulingkan oleh rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin.

Beliau meninggalkan Thailand pada Ogos 2008 untuk mengelak daripada berdepan hukuman penjara. 

Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara dua tahun tanpa kehadirannya kerana salahguna kuasa.

Thaksin menyatakan hasrat untuk kembali ke Thailand bagi menjaga cucunya pada 1 Mei, selepas Paetongtarn, 36, melahirkan anak keduanya.

Pakar berkata kenyataan Thaksin untuk pulang ke tanah air dilihat sebagai langkah politik bertujuan meraih sokongan kepada parti Pheu Thai.

Ketika diminta mengulas mengenai tweet terbaharu Thaksin untuk kembali ke Thailand, Prayuth berkata "terpulang kepadanya dan sistem keadilan".