- Iklan -
Luar Sana

Wabak demam babi Afrika dikesan di Indonesia, kata WOAH

Manusia, kenderaan, makanan, lalat dan babi hutan mungkin memainkan peranan penting dalam penyebaran ASF di ladang.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Demam babi Afrika tidak berbahaya kepada manusia tetapi membawa maut kepada babi. Gambar: Pexels
Demam babi Afrika tidak berbahaya kepada manusia tetapi membawa maut kepada babi. Gambar: Pexels

Indonesia melaporkan wabak demam babi Afrika dikesan di sebuah ladang di Kepulauan Riau dekat Singapura, kata Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada Selasa. 

Wabak yang membunuh 35,297 daripada 285,034 ekor babi di ladang yang terletak di pulau Bulan itu dikesan pada 1 April dan disahkan pada 28 April, kata WOAH yang berpangkalan di Paris, memetik pihak berkuasa Indonesia. 

Demam Babi Afrika (ASF) tidak berbahaya kepada manusia tetapi membawa maut kepada babi. 

Ia telah melanda China selama bertahun-tahun, dengan gelombang awal pada 2018 dan 2019 membunuh jutaan babi dan membawa kepada penurunan dramatik dalam pengeluaran daging yang menggemparkan pasaran global. 

China berdepan lonjakan jangkitan tahun ini. 

Sumber wabak Indonesia masih belum dapat dikenal pasti tetapi pihak berkuasa veterinar memberitahu WOAH bahawa manusia, kenderaan, makanan, lalat dan babi hutan mungkin memainkan peranan penting dalam penyebaran ASF di ladang. 

Siasatan bermula selepas penyakit itu dikesan oleh Agensi Makanan Singapura dalam babi import, kata mereka.