- Iklan -
Luar Sana

Parti pembangkang dahului keputusan awal pilihan raya Thailand

Sebanyak 55% kertas undi sudah pun dikira setakat ini yang menyaksikan Pheu Thai dan Move Forward sedang mendahului.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pengundi memasukkan kertas pengundi ke dalam peti undi dalam Pilihan Raya Umum Thailand di sebuah pusat mengundi di Bangkok, Thailand, 14 Mei. Gambar: Reuters
Seorang pengundi memasukkan kertas pengundi ke dalam peti undi dalam Pilihan Raya Umum Thailand di sebuah pusat mengundi di Bangkok, Thailand, 14 Mei. Gambar: Reuters

Parti pembangkang Move Forward dan Pheu Thai kini bersaing sengit untuk merebut 400 kerusi dalam pilihan raya Thailand.

Sehingga 11.30 malam (waktu tempatan), sebanyak 55% kertas undi sudah pun dikira yang menyaksikan Pheu Thai dan Move Forward sedang mendahului. 

Menurut laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand, Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Thailand yang dibuang negeri, Thaksin Shinawatra, memenangi 113 kerusi manakala Move Forward yang popular dalam kalangan pengundi muda memperoleh 112 kerusi.

Selain itu, parti Bhumjaithai yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul, memenangi 64 kerusi.

Parti United Thai Nation (UTN) yang menamakan Perdana Menteri Prayuth Chan O-cha sebagai calon perdana menterinya setakat ini memenangi 24 kerusi.

Ketua Move Forward, Pita Limjaroenrat, berkata: “beliau sangat gembira dengan keputusan awal itu”.

Dengan bilangan kerusi yang sudah dimenangi setakat ini, Move Forward dan Pheu Thai sepatutnya boleh membentuk kerajaan, katanya kepada pemberita.

Sementara itu, anak perempuan Thaksin, Paetongtarn Shinawatra, 36, berkata parti yang paling banyak memenangi kerusi harus memulakan langkah untuk bergabung.