- Iklan -
Luar Sana

Angka korban akibat siklon meningkat kepada 29 orang di Myanmar

Siklon Mocha mendarat di antara Cox's Bazar di Bangladesh dan Sittwe Myanmar yang membawa angin sehingga 195 km per jam, ribut terbesar yang melanda Teluk Benggala dalam tempoh lebih sedekad.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa rumah musnah akibat Siklon Mocha di Kyauktaw, Rakhine, Myanmar pada 15 Mei. Gambar: Reuters
Beberapa rumah musnah akibat Siklon Mocha di Kyauktaw, Rakhine, Myanmar pada 15 Mei. Gambar: Reuters

Angka kematian akibat Siklon Mocha yang melanda Teluk Benggala meningkat semalam ketika ia bergerak menuju ke barat Myanmar dengan 29 orang dilaporkan terkorban.

Siklon Mocha mendarat di antara Cox's Bazar di Bangladesh dan Sittwe Myanmar yang membawa angin sehingga 195 km per jam, ribut terbesar yang melanda Teluk Benggala dalam tempoh lebih sedekad.

Ribut itu sebahagian besarnya berlaku lewat Ahad, melanda kem pelarian yang menempatkan hampir sejuta etnik Rohingya di Bangladesh, di mana pegawai berkata tiada kematian dilaporkan. 

Sebanyak 24 orang terbunuh di kawasan perkampungan Khaung Doke Kar di barat laut Sittwe, kata seorang ketua kem Rohingya kepada AFP, yang meminta namanya dirahsiakan kerana bimbang dikenakan tindakan oleh tentera junta. 

Katanya, beberapa orang lagi dikhuatiri hilang dari kawasan rendah, yang menjadi rumah kepada perkampungan etnik Rohingya dan kem IDP.

Rakaman AFP dari kawasan itu menunjukkan bot nelayan pecah menjadi serpihan dan bertebaran berdekatan pantai.

Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh di Myanmar dan "beberapa penduduk" cedera, kata tentera junta tentera dalam satu kenyataan sebelum ini namun angka sebenar tidak dibutirkan.

Junta berkata, lebih 860 rumah dan 14 hospital atau klinik rosak teruk di seluruh negara.

Menurut penjejak siklon, komunikasi dengan ibu negeri Rakhine yang menempatkan kira-kira 150,000 orang masih tergendala pada Isnin.

Ratusan penduduk yang berlindung di kawasan lebih tinggi kembali ke bandar di sepanjang jalan yang dipenuhi pokok, tiang dan kabel elektrik yang tumbang, kata wartawan AFP. 

Sekurang-kurangnya lima maut di bandar itu dan kira-kira 25 orang cedera, kata pekerja penyelamat tempatan Ko Lin Lin kepada AFP. 

Bagaimanapun, AFP tidak dapat mengesahkan sama ada mangsa yang terkorban itu termasuk dalam jumlah kematian seperti dalam kenyataan junta.

Mocha membadai pada Ahad, membawa gelombang ribut dan angin kencang yang meruntuhkan sebuah menara komunikasi di Sittwe, menurut imej yang diterbitkan di media sosial. 

“Saya berada di sebuah biara Buddha ketika ribut datang,” kata seorang penduduk kepada AFP. 

"Dewan solat dan dewan makan sami runtuh. Kami terpaksa berpindah dari bangunan ini dan bangunan itu. Sekarang laluan keluar masuk terhalang disebabkan pokok dan tiang tumbang.”

Media bersekutu Junta melaporkan bahawa ribut menyebabkan ratusan stesen pangkalan, yang menyambungkan telefon mudah alih ke rangkaian, tidak dapat digunakan di Rakhine.