- Iklan -
Luar Sana

Lebih 400 maut akibat Siklon Mocha di Rakhine, Myanmar

Siklon Mocha memusnahkan hampir semua rumah, tempat perlindungan, sekolah, masjid, biara, klinik dan semua infrastruktur di Sittwe.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kanak-kanak etnik Rohingya berdiri di tepi rumah yang musnah di kem pelarian Ohn Taw Chay di Sittwe pada 16 Mei, selepas Siklon Mocha melanda negara itu. Gambar: AFP
Kanak-kanak etnik Rohingya berdiri di tepi rumah yang musnah di kem pelarian Ohn Taw Chay di Sittwe pada 16 Mei, selepas Siklon Mocha melanda negara itu. Gambar: AFP

Lebih 400 orang maut di negeri Rakhine Myanmar akibat Siklon Mocha, yang melanda kawasan pantai antara daerah Cox’s Bazar di Bangladesh dan pekan Kyaukpyu Myanmar, kata kumpulan hak asasi manusia pada Rabu.

Perikatan Kebangsaan Rohingya Arakan (ARNA) dalam satu kenyataan berkata perkampungan pantai di ibu negeri Rakhine, Sittwe mengalami kerosakan teruk dan lebih 400 orang terbunuh yang kebanyakannya beragama Islam manakala angka kematian dijangka meningkat.

Lebih 10,000 rumah turut musnah akibat Siklon Mocha yang melanda wilayah itu pada Ahad dengan membawa angin kencang selaju 217 kilometer sejam, tambah kenyataan itu lapor Agensi Anadolu.

“Di Sittwe, pergerakan kira-kira 130,000 etnik Rohingya terbatas hanya di kem pelarian, sama seperti kem tahanan sejak 2012. Kebanyakan mereka belum dipindahkan.

“Sebuah kem yang menempatkan 380 tempat perlindungan pula musnah sepenuhnya setelah dinaiki air setinggi 9.1 meter, kata Nay San Lwin, pengasas bersama Free Rohingya Coalition, kepada Anadolu.

Menurut pelbagai sumber, angka kematian di semua kem di Sittwe mungkin lebih tinggi daripada 400. Bagaimanapun, disebabkan gangguan perkhidmatan mudah alih dan Internet di kawasan itu, ia akan mengambil sedikit masa untuk mendapatkan jumlah mangsa yang tepat. Struktur di semua kem pula rosak 90 peratus, tambahnya.

Siklon Mocha memusnahkan hampir semua rumah, tempat perlindungan, sekolah, masjid, biara, klinik dan semua infrastruktur di Sittwe. Ia juga melanda pekan Ponnagyan, Kyauktaw, Mrauk-U, Myebon, Pauktaw dan Rathedaung.

Sementara itu, kenyataan ARNA mengecam rejim tentera Myanmar kerana tidak cukup membantu selain ketiadaan pengurusan bencana siklon yang wajar untuk menyelamatkan nyawa rakyat.

“Sekarang orang ramai amat memerlukan air minuman, ubat-ubatan, tempat perlindungan, makanan dan keperluan, dan kami menggesa masyarakat antarabangsa dan NGO untuk tampil membantu. Rejim tentera harus membenarkan semua agensi bantuan dan sukarelawan akses tanpa halangan kepada setiap orang yang memerlukan tanpa sebarang bentuk diskriminasi,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.