- Iklan -
Luar Sana

Menteri komunikasi Indonesia ditahan kerana rasuah

Johnny G Plate adalah menteri kelima dalam pentadbiran Presiden Joko Widodo yang didakwa atas tuduhan rasuah.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia Johnny G Plate ketika keluar di Pejabat Peguam Negara susulan tuduhan rasuah di Jakarta, Indonesia, 17 Mei, gambar ini diambil oleh Antara Foto. Gambar: Reuters

Pihak berkuasa Indonesia menahan seorang menteri kanan atas tuduhan rasuah yang dipercayai menyebabkan kerugian lebih setengah bilion dolar kepada republik itu.

Johnny G Plate adalah menteri kelima dalam pentadbiran Presiden Joko Widodo yang didakwa atas tuduhan rasuah. 

Terbaru, menteri hal ehwal sosial dan perikanan Indonesia dipenjara pada 2021 kerana terlibat dalam rasuah. 

Pejabat Peguam Negara (AGO) berkata Johnny ditahan kerana penglibatannya dalam perolehan peralatan yang diperlukan untuk membina menara komunikasi, yang menurut kementeriannya akan membawa sambungan internet ke banyak kampung pada 2020. 

Johnny ditahan "sebagai pengguna belanjawan dan sebagai menteri", kata pegawai AGO Kuntadi, tanpa memperincikan peranan khusus menteri itu.

Seorang lagi pegawai Ketut Sumedana berkata menteri itu didakwa melanggar undang-undang rasuah Indonesia, yang boleh membawa hukuman penjara maksimum seumur hidup. 

Reuters cuba menghubungi peguam kepada menteri komunikasi itu untuk mendapatkan maklum balas bagaimanapun tidak berjaya.

Dakwaan rasuah itu menyebabkan kerugian kira-kira AS$544 juta (kira-kira RM2.5 bilion) kepada republik itu, kata AGO. 

Menurut badan pemantau rasuah global Transparency International, Indonesia turun empat mata pada indeks persepsi rasuahnya tahun lepas dan berada pada kedudukan ke-110 daripada 180 negara.