- Iklan -
Luar Sana

Perbicaraan kes MH17 sambung Jun depan babit Ukraine, Rusia

Mahkamah Keadilan Antarabangsa menetapkan empat hari perbicaraan pada 6, 8, 12 dan 14 Jun untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak dalam kes itu.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pemisah bersenjata pro-Rusia berdiri di atas sebahagian serpihan pesawat Malaysia Airlines MH17 selepas ia terhempas berhampiran penempatan Grabovo di wilayah Donetsk, 17 Julai 2014. Gambar: Reuters
Seorang pemisah bersenjata pro-Rusia berdiri di atas sebahagian serpihan pesawat Malaysia Airlines MH17 selepas ia terhempas berhampiran penempatan Grabovo di wilayah Donetsk, 17 Julai 2014. Gambar: Reuters

Peguam Ukraine dan Rusia akan berdepan di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 6 Jun, apabila hakim akan mendengar dakwaan Ukraine bahawa Moscow melanggar perjanjian PBB dengan menyokong pihak pemisah pro-Rusia yang dikenal pasti Mahkamah Belanda sebagai bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 pada 2014.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Belanda mensabitkan kesalahan dua lelaki Rusia dan seorang warga Ukraine kerana peranan mereka dalam menembak jatuh pesawat MH17, dengan semua 298 penumpang dan anak kapal terkorban dalam kejadian itu.

Ketiga-tiga suspek dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. 

Penerbangan Malaysian Airlines MH17 berlepas dari Amsterdam dan menuju ke Kuala Lumpur ketika ia ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, sewaktu kemuncak pertempuran antara pihak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine ketika itu. 

Keputusan Belanda juga mendapati bahawa Rusia mempunyai "kawalan keseluruhan" ke atas pasukan Republik Rakyat Donetsk di timur Ukraine mulai pertengahan Mei 2014.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), telah menetapkan empat hari perbicaraan pada 6, 8, 12 dan 14 Jun untuk mendengar hujah kedua-dua pihak dalam kes itu. 

Kes ini, yang difailkan pada 2017, adalah salah satu daripada dua kes Ukraine yang dibawa terhadap Rusia di mahkamah. 

Kes lain, yang difailkan sejurus selepas pencerobohan Rusia pada 2022, berpusat pada dakwaan Moscow bahawa mereka menyerang Ukraine untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai. 

Ia biasanya mengambil masa beberapa tahun di ICJ untuk mencapai peringkat pendengaran mengenai merit kes itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.