- Iklan -
Luar Sana

Hampir 250,000 larikan diri akibat banjir besar di bandar Beledweyne, Somalia

Agensi bantuan dan saintis memberi amaran bahawa perubahan iklim adalah antara faktor utama yang mempercepatkan bencana alam luar biasa ini selain pelepasan gas karbon dioksida.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara menunjukkan sungai Shabelle di tengah Somalia, 13 Mac 2022. Gambar: Reuters
Pemandangan udara menunjukkan sungai Shabelle di tengah Somalia, 13 Mac 2022. Gambar: Reuters

Hampir 250,000 penduduk di tengah Somalia terpaksa melarikan diri mencari tempat perlindungan selepas kediaman mereka musnah akibat banjir besar yang menenggelamkan bandar Beledweyne.

Lebih memburukkan, tebing sungai Shabelle di kawasan berkenaan pecah.

Menurut kerajaan Somalia, banjir berlaku ketika negara itu sedang berdepan kemarau paling teruk dalam tempoh empat dekad lalu.

Agensi bantuan dan saintis memberi amaran bahawa perubahan iklim adalah antara faktor utama yang mempercepatkan bencana alam luar biasa ini selain pelepasan gas karbon dioksida.

Hujan bermusim di Somalia dan di tanah tinggi Ethiopia mencetuskan banjir kilat yang menghanyutkan rumah, tanaman dan ternakan.

Menurut penduduk tempatan, bencana itu turut menyebabkan sekolah dan hospital di Beledweyne, ibu kota wilayah Hiraan ditutup buat sementara waktu.

"Sejurus itu seluruh bandar dinaiki air. Beledweyne kini menjadi seperti lautan," kata peniaga Ahmed Nur. 

"Hanya bumbung rumah yang kelihatan. Kami menggunakan bot kecil dan traktor untuk menyelamatkan orang ramai," katanya.

Nur yang tinggal bersama saudara mara di pinggir bandar pada mulanya bersyukur kerana kemarau sudah berakhir, namun tidak menyangka hujan yang turun mengakibatkan keadaan bertambah buruk.

"Hujan turun, kami gembira. Orang ramai menanam tanaman mereka," katanya. 

Kemarau, ditambah dengan keganasan dan lonjakan harga makanan yang disebabkan oleh perang di Ukraine, mengorbankan seramai 43,000 orang tahun lalu, menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

Menurut Pejabat Kemanusiaan PBB (OCHA), banjir telah menjejaskan lebih 460,000 penduduk di seluruh negara dan mengorbankan 22 orang Sejak pertengahn Mac lepas.

"Pemulihan daripada enam musim hujan sedikit berturut-turut akan mengambil masa," kata OCHA dalam laporan pada 14 Mei.

Sementara itu, menurut Agensi Pengurusan Bencana Somalia, banjir di Beledweyne menyebabkan lebih 245,000 orang hilang tempat tinggal.