- Iklan -
Luar Sana

Pihak berkuasa Pakistan beri amaran kepada bekas PM Khan supaya serahkan suspek rusuhan

Pembantu Khan, Iftikhar Durrani berkata, tuduhan mengatakan beliau melindungi orang yang disyaki terlibat dalam keganasan itu adalah meleset, dan mengulangi desakan untuk mendapatkan siasatan bebas.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Pergerakan Demokratik Pakistan (PDM) berkumpul di depan Mahkamah Agung Pakistan untuk membantah pemberian jaminan dalam beberapa kes kepada bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan, di Islamabad, Pakistan pada 15 Mei. Gambar: Reuters
Penyokong Pergerakan Demokratik Pakistan (PDM) berkumpul di depan Mahkamah Agung Pakistan untuk membantah pemberian jaminan dalam beberapa kes kepada bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan, di Islamabad, Pakistan pada 15 Mei. Gambar: Reuters

Kerajaan Pakistan menuduh bekas perdana menteri Imran Khan melindungi pembantu dan penyokong yang dikehendaki berhubung serangan terhadap tentera susulan penahanannya minggu lalu, dan memberi amaran beliau mempunyai 24 jam untuk menyerahkan mereka atau berdepan serbuan polis.

Penangkapan Khan dan keganasan yang berlaku telah menambah ketidakstabilan politik di negara Asia Selatan yang mempunyai kira-kira 220 juta penduduk itu. 

Pakistan berdepan krisis ekonomi paling teruk, dengan kelewatan dalam mendapatkan pembiayaan IMF kritikal bagi mengelakkan isu imbangan pembayaran. 

Menteri Penerangan wilayah Punjab, Amir Mir berkata, agensi perisikan dan penguatkuasaan undang-undang telah mengenal pasti bahawa kira-kira 30 hingga 40 orang yang dituduh menyerang tentera bersembunyi di rumah Khan di Lahore. 

"Kami memberi kata dua bahawa pengganas ini harus diserahkan kepada polis, jika tidak akan ada tindakan," kata Mir pada sidang media di bandar itu. 

Amir memberi amaran kepada Khan bahawa beliau mempunyai tempoh 24 jam untuk menyerahkan suspek, dan serbuan polis akan dilancarkan jika bekas perdana menteri enggan mematuhinya. 

Pembantu Khan, Iftikhar Durrani berkata, tuduhan mengatakan beliau melindungi orang yang disyaki terlibat dalam keganasan itu adalah meleset, dan mengulangi desakan untuk mendapatkan siasatan bebas.

Khan ditahan pada 9 Mei atas tuduhan rasuah. Bagaimanapun ia dinafikan beliau. 

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin Jumaat lalu, dan pada Rabu Mahkamah Tinggi Islamabad membenarkan lanjutan jaminan sehingga 31 Mei, kata peguamnya Faisal Chaudhry. 

Ribuan penyokong Khan telah menyerang dan membakar beberapa bangunan kerajaan dan awam, termasuk ibu pejabat tentera, susulan penahanannya. 

Lebih 3,000 orang sudah berada dalam tahanan atas keganasan itu. 

Bekas ahli politik yang popular dengan sukan kriket itu telah mengumpulkan penyokongnya bagi menuntut pilihan raya sejak beliau digulingkan dalam undi tidak percaya di Parlimen pada April 2022.

Mir, menteri Punjab, dan Menteri Penerangan Persekutuan Marriyum Aurangzeb berkata orang yang dituduh menyerang tentera sewaktu keganasan akan dibicarakan di mahkamah tentera. 

"Serangan terhadap tentera negara itu adalah berbentuk hasutan," kata Aurangzeb pada sidang media berasingan pada Rabu.

Tentera turut mengumumkan bahawa mereka yang dituduh menyerang bangunannya akan dibicarakan mengikut undang-undang tentera, sambil mengatakan serangan 9 Mei itu "dirancang terlebih dahulu" dan diarahkan oleh pemimpin parti Khan.

Bagaimanapun perkara itu telah dinafikan Khan dan partinya.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan (HRCP) pada Selasa berkata ia menentang sebarang penggunaan undang-undang ketenteraan untuk membicarakan orang awam, dengan mengatakan ia berisiko menafikan hak mereka untuk proses perundangan sewajarnya.