- Iklan -
Luar Sana

Mahkamah India keluarkan saman terhadap BBC berhubung kes fitnah dokumentari Modi

Laporan media mengatakan saman itu difailkan oleh sebuah badan bukan kerajaan yang berpangkalan di Gujarat.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menonton dokumentari BBC 'India: The Modi Question', pada skrin yang dipasang di persimpangan Marine Drive di bawah arahan jawatankuasa kongres daerah, di Kochi pada 24 Januari. Gambar: AFP
Orang ramai menonton dokumentari BBC 'India: The Modi Question', pada skrin yang dipasang di persimpangan Marine Drive di bawah arahan jawatankuasa kongres daerah, di Kochi pada 24 Januari. Gambar: AFP

Mahkamah Tinggi Delhi mengeluarkan saman kepada penyiar Britain BBC dalam kes fitnah berhubung dokumentarinya mengenai Narendra Modi yang mempersoalkan kepimpinan perdana menteri itu sewaktu rusuhan di Gujerat pada 2002, lapor media tempatan. 

Menurut laporan itu, saman fitnah itu menyatakan dokumentari bertajuk "India: The Modi Question" yang disiarkan awal tahun ini mencemarkan reputasi India dan badan kehakimannya serta perdana menteri. 

Saman itu dibuat beberapa bulan selepas pegawai percukaian India memeriksa pejabat BBC di New Delhi dan Mumbai pada Februari susulan kemarahan oleh kerajaan India terhadap dokumentari itu. 

Laporan media mengatakan saman itu difailkan oleh sebuah badan bukan kerajaan yang berpangkalan di Gujarat, negeri asal Modi. 

Reuters cuba mendapatkan maklum balas daripada BBC namun tidak berjaya.

Dokumentari itu memfokuskan kepada kepimpinan Modi sebagai ketua menteri di Gujarat sewaktu rusuhan pada 2002 di mana sekurang-kurangnya 1,000 orang terbunuh. Kebanyakannya mangsa yang terbunuh adalah penganut beragama Islam. 

Aktivis menganggarkan bahawa angka korban adalah dua kali ganda daripada jumlah yang dinyatakan itu. 

Modi telah menafikan dakwaan bahawa beliau tidak melakukan sebarang tindakan untuk menghentikan rusuhan dan siasatan yang diarahkan oleh Mahkamah Agung mendapati tiada bukti untuk mendakwanya. 

Petisyen menuntut siasatan baharu telah ditolak oleh Mahkamah Agung tahun lalu. 

Kerajaan menggelar dokumentari itu, yang tidak disiarkan di India, sebagai "naskhah propaganda" berat sebelah dan menyekat perkongsian mana-mana klipnya di media sosial. 

BBC sebelum ini berkata bahawa ia "tidak mempunyai agenda" dan tetap dengan laporannya untuk menyiarkan dokumentari itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.