- Iklan -
Berita

Move Forward, sekutu tanda tangan MoU kerjasama

MoU itu membentuk gabungan 313 kerusi antara Move Foward dan tujuh parti lain.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin Parti Move Forward, Pita Limjaroenrat, berpegangan tangan dengan pemimpin parti gabungan sewaktu sidang media bagi mengumumkan kerjasama parti itu dengan sekutunya di Bangkok, Thailand, 22 Mei. Gambar: Reuters
Pemimpin Parti Move Forward, Pita Limjaroenrat, berpegangan tangan dengan pemimpin parti gabungan sewaktu sidang media bagi mengumumkan kerjasama parti itu dengan sekutunya di Bangkok, Thailand, 22 Mei. Gambar: Reuters

Gabungan progresif Thailand yang diterajui Parti Move Forward menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengesahkan persetujuan membentuk bekerjasama menerusi 23 agenda sebaik kerajaan gabungan itu dibentuk.

Parti Move Forward dan tujuh parti lain – Parti Pheu Thai, Parti Thai Sang Thai, Parti Prachachart, Parti Seree Ruam Thai, Parti Pheu Thai Ruam Palang, Parti FAIR dan Parti Plung Sungkom Mai dengan gabungan 313 kerusi  menandatangani MoU 23 perkara termasuk bekerjasama ke arah reformasi demokrasi dan memulihkan ekonomi.

Bagaimanapun, MoU itu tidak menyebut tentang meminda undang-undang lese majeste yang dikenali sebagai artikel 112 kanun jenayah, seperti disuarakan oleh Parti Move Forward.

MoU itu dikongsi kepada orang ramai pada hari ini yang  menandakan sembilan tahun sejak tentera merampas kuasa daripada Yingluck Shinawatra pada 2014.

Pemimpin parti Move Forward dan calon perdana menteri Pita Limjaroenrat menandatangani MoU itu dengan tujuh wakil parti lain.

Semua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam memulihkan demokrasi termasuk menyegerakan penggubalan perlembagaan baharu, meluluskan Akta Kesaksamaan Perkahwinan dan menyenaraikan semula kanabis dalam senarai narkotiknya

Selain itu, gabungan itu akan menghapuskan monopoli dan menggalakkan persaingan yang adil dalam semua industri, seperti minuman beralkohol, membawa pembaharuan dalam perkhidmatan awam, polis, tentera, dan proses keadilan, bekerjasama dalam proses membina keamanan yang mampan di wilayah sempadan selatan, memerangi rasuah dan dadah.

Gabungan itu juga bersetuju untuk memperbaharui sistem pendidikan, memupuk kerjasama dan mekanisme domestik dan antarabangsa bagi menangani isu pencemaran dan melaksanakan inisiatif dasar luar untuk memulihkan peranan kepimpinan Thailand dalam Asean.

MoU itu menyatakan bahawa semua pihak hendaklah melindungi hak rakyat dan kebebasan sivil mereka serta bekerja dengan jujur dan berintegriti.

“Semua pihak hendaklah benar-benar menghormati dan menyokong satu sama lain, menggalakkan kerja berpasukan, dan menganggap kepentingan orang ramai sebagai keutamaan mereka, dan bukannya kepentingan mana-mana pihak tertentu.

"Semua pihak mempunyai hak untuk menyokong dasar tambahan selagi tidak bercanggah dengan dasar yang digariskan dalam perjanjian ini, melalui kuasa eksekutif yang dimiliki oleh menteri yang mewakili parti masing-masing dalam kerajaan," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.