- Iklan -
Luar Sana

TikTok fail saman halang larangan aplikasi di negeri AS

Menurut TikTok, larangan yang akan bermula pada 2024 itu melanggar hak kebebasan bersuara yang dilindungi oleh Perlembagaan.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan ibu pejabat TikTok di Culver City, California, 26 April. Gambar: Reuters
Bangunan ibu pejabat TikTok di Culver City, California, 26 April. Gambar: Reuters

TikTok pada memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin untuk menghalang Montana daripada melaksanakan larangan menyeluruh terhadap aplikasi perkongsian video itu. 

Menurut saman berkenaan, larangan yang belum pernah berlaku sebelum ini dan akan mula dilaksanakan pada 2024 itu, melanggar hak kebebasan bersuara yang dilindungi oleh Perlembagaan.

"Kami percaya tindakan undang-undang ini akan berjaya berdasarkan kes sebelum ini dan fakta yang sangat kuat," kata jurucakap TikTok kepada AFP. 

Gabenor Montana Greg Gianforte menandatangani larangan yang belum pernah berlaku sebelum ini dan meluluskannya sebagai undang-undang pada 17 Mei. 

Menerusi kenyataannya di Twitter, Gianforte berkata beliau menyokong larangan itu untuk "melindungi data peribadi rakyat Montana daripada Parti Komunis China." 

"Negeri telah menggubal langkah-langkah luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini berasaskan spekulasi yang tidak berasas," menurut saman itu.

Minggu lalu, lima pengguna dan pencipta kandungan di TikTok sepakat memfailkan saman, menggesa Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan larangan Montana terhadap aplikasi itu, atas alasan ia melanggar hak kebebasan bersuara mereka. 

Menurut dua saman yang difailkan terhadap pentadbir Montana berpendapat, negeri itu cuba menggunakan kuasa keselamatan nasional yang hanya boleh digunakan oleh kerajaan Persekutuan dan proses itu melanggar hak kebebasan bersuara.

TikTok pula menggesa Mahkamah Persekutuan untuk mengisytiharkan larangan Montana terhadap aplikasinya tidak berperlembagaan dan menghalang negeri itu daripada menguatkuasakannya. 

Aplikasi itu dimiliki oleh firma China ByteDance, namun sebahagian besar ahli politik AS menuduh ia dikawal China sebagai alat pengintipan oleh Beijing, tetapi dinafikan syarikat tersebut.

Montana menjadi negeri pertama di AS yang mengharamkan TikTok, dengan undang-undang itu akan berkuat kuasa tahun depan ketika perdebatan meningkat mengenai kesan dan keselamatan aplikasi video popular itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.