- Iklan -
Luar Sana

Ekonomi Singapura atasi jangkaan di sebalik amaran kerajaan tentang risiko global

Prestasi ekonomi negara Asia Tenggara itu sering dilihat bersandarkan kepada persekitaran global kerana kebergantungannya terhadap perdagangan antarabangsa.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan panorama di Singapura, 27 Januari. Gambar: Reuters
Pemandangan panorama di Singapura, 27 Januari. Gambar: Reuters

Ekonomi Singapura mencatatkan prestasi lebih baik daripada jangkaan pada suku pertama 2023, demikian menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun, kerajaan republik itu memberi amaran bahawa prospek antarabangsa kekal suram.

Prestasi ekonomi negara Asia Tenggara itu sering dilihat bersandarkan kepada persekitaran global kerana kebergantungannya terhadap perdagangan antarabangsa. 

Ekonominya berkembang 0.4 pada suku pertama tahun ini bermula Januari, lebih perlahan berbanding pertumbuhan 2.1% pada suku sebelumnya tetapi lebih baik daripada anggaran awal yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) bulan lepas. 

Suku ke suku, ekonomi menyusut 0.4%, walaupun ia lebih baik daripada jangkaan. 

MTI mengekalkan unjuran pertumbuhannya antara 0.5% dan 2.5% untuk tahun ini.

Kementerian itu memberi amaran bahawa "risiko penurunan dalam ekonomi global telah meningkat."

Dalam kenyataannya, kementerian itu memetik "keadaan kewangan global yang lebih ketat daripada jangkaan” dan "peningkatan susulan perang di Ukraine dan ketegangan geopolitik di kalangan kuasa global utama". 

Pakar Ekonomi Serantau bagi Perbankan Persendirian CIMB, Song Seng Wun berkata kelembapan dalam permintaan global boleh mempengaruhi data perdagangan dan pengeluaran kerana dagangan Singapura adalah tiga kali ganda berbanding KDNK republik itu.

“Singapura umpama burung kenari dalam lombong arang batu,” katanya. 

Terdapat bacaan lemah daripada sektor pembuatan, yang menyusut 5.6% pada suku pertama, bertambah buruk daripada penyusutan 2.6% pada suku keempat tahun lepas.

Sektor itu termasuk semikonduktor yang menjadi eksport utama. 

"Tinjauan permintaan luar Singapura untuk sepanjang tahun ini menjadi lemah," kata MTI. 

"Selain daripada jangkaan kelembapan dalam ekonomi maju, kitaran penurunan elektronik berkemungkinan lebih mendalam dan lebih berpanjangan daripada unjuran awal." 

Bagaimanapun, ia memberikan pandangan yang optimistik untuk sektor penerbangan dan pelancongan.

Dalam pada itu, MTI menganggarkan pemulihan ekonomi China lebih kukuh berikutan berakhirnya sekatan Covid.

Kementerian itu memberi amaran bahawa kesan limpahan ke atas Singapura "dijangka kekal lemah".