- Iklan -
Luar Sana

Ratu rock Tina Turner meninggal dunia pada usia 83 tahun

Ramai rakan artis di seluruh dunia terutama nama-nama besar ketika mendiang mencipta nama tidak putus-putus memberikan ucapan takziah, tidak kurang juga yang melahirkan rasa terkejut dengan berita pemergian legenda itu yang popular sepanjang zaman.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Penyanyi Tina Turner ketika membuat persembahan di Arena O2 di London, 3 Mac 2009. Gambar: Reuters
Penyanyi Tina Turner ketika membuat persembahan di Arena O2 di London, 3 Mac 2009. Gambar: Reuters

Ratu rock kulit hitam yang terkenal dengan lantunan suara tinggi dan persembahan memukau penonton di seluruh dunia selama beberapa dekad, Tina Turner meninggal dunia pada usia 83 tahun semalam.

Ramai rakan artis di seluruh dunia terutama nama-nama besar ketika mendiang mencipta nama tidak putus-putus memberikan ucapan takziah, tidak kurang juga yang melahirkan rasa terkejut dengan berita pemergian legenda itu yang popular sepanjang zaman.

Antaranya penyanyi The Rolling Stones, Mick Jagger – yang pernah mempelajari gerakan tarian daripada diva itu, berkata dunia telah kehilangan "seorang penghibur dan penyanyi yang sangat berbakat." 

"Dia memberi inspirasi, mesra, kelakar dan pemurah. Dia banyak membantu saya semasa saya masih muda dan saya tidak akan melupakannya." 

Sementara itu, rakan kumpulan Jagger, Ronnie Wood memanggil Turner sebagai "The Queen Of Rock And Soul serta kawan yang disayangi."

Ramai peminat berbaris untuk memberi penghormatan terakhir di luar perkarangan kediamannya di Kusnacht, di Tasik Zurich Switzerland, sambil membawa lilin dan bunga. 

Chateau Algonquin telah menjadi kediaman Turner bersama suaminya dari Jerman, Erwin Bach selama hampir tiga dekad, termasuk ketika beliau mendapatkan kerakyatan Switzerland pada 2013. 

"Dunia telah kehilangan ikon," kata Presiden Switzerland Alain Berset. 

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden turut tidak ketinggalan memberi ucapan takziah kepada keluarga mendiang dengan mengatakan "bakat yang ada pada Turner telah mengubah industri muzik AS selama-lamanya.”

"Kekuatan peribadi Turner adalah luar biasa," tulis Biden. 

"Mengatasi kesukaran, dan juga penderaan, beliau membina kerjaya selama berabad-abad dan kehidupan serta warisan yang menjadi miliknya sepenuhnya," tambahnya sambil menggelar Turner sebagai "penyanyi terbaik." 

Pegawai Publisiti Turner yang berpangkalan di Britain, Bernard Doherty memberitahu kematian Turner adalah akibat penyakit yang lama dideritai legenda itu.

Doherty bagaimanapun enggan mendedahkan butiran mengenai penyakit tersebut.

‘The Best’

Sepanjang kerjayanya sebagai penggiat seni, Turner telah memenangi lapan Anugerah Grammy bermula pada 1960-an ketika bersama bekas suaminya Ike Turner. 

Pasangan itu merekodkan beberapa hits bersama sepanjang 1960-an hingga 1970-an.

Selepas bercerai – beliau melarikan diri pada pertengahan jelajah 1976 – Turner menempa kerjaya sebagai penyanyi solo yang sangat berjaya. 

Pada tahun-tahun berikutnya Turner muncul dengan hits popular di seluruh dunia seperti "What's Love Got to Do With It?", "Private Dancer" dan lagu "The Best". 

Lagu beliau bertajuk "We Don't Need Another Hero" menjadi runut bunyi kepada filem "Mad Max Beyond Thunderdome" yang dibintangi oleh Mel Gibson pada 1985.

Sedekad kemudian, beliau memasuki "Goldeneye", menyertai barisan artis terpilih yang telah menyanyi di francais James Bond. 

Reaksi terhadap kematian Turner hadir dari seluruh industri muzik, hiburan dan sukan. 

Rakan penyanyi Gloria Gaynor memuat naik catatan di Instagram dengan memuji kerjaya Turner kerana berjaya "membuka jalan untuk ramai wanita berkecimpung dalam muzik rock, hitam dan putih." 

"Dia melakukan dengan penuh bermaruah dan keberaniannya menempa nama pada zamannya serta dalam genre muzik itu.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.