- Iklan -
Berita

Korea Selatan, AS adakan latihan tentera terbesar

Latihan yang dijalankan di kawasan pergunungan Pocheon berhampiran sempadan Korea Utara itu melibatkan beberapa kereta kebal, howitzer dan jet pejuang.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Sistem roket pelancar berganda milik tentera Korea Selatan melepaskan roket semasa latihan ketenteraan bersama tentera AS di Padang Latihan Seungjin di Pocheon, Korea Selatan 25 Mei. Gambar: Reuters
Sistem roket pelancar berganda milik tentera Korea Selatan melepaskan roket semasa latihan ketenteraan bersama tentera AS di Padang Latihan Seungjin di Pocheon, Korea Selatan 25 Mei. Gambar: Reuters

Tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) memulakan latihan ketenteraan bersama terbesar seumpamanya semalam, sama seperti “serangan berskala penuh” daripada Korea Utara.

Menurut Kementerian Pertahanan Korea Selatan, latihan itu bertujuan menunjukkan keupayaan ketenteraan "luar biasa" mereka terhadap ancaman Korea Utara. 

Latihan yang dijalankan di kawasan pergunungan Pocheon berhampiran sempadan Korea Utara itu melibatkan beberapa kereta kebal, howitzer dan jet pejuang.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata kira-kira 2,500 tentera dari kedua-dua negara mengambil bahagian dalam latihan yang diadakan selama lima hari. Ia akan diadakan empat kali hingga pertengahan Jun ini.

"Latihan itu menunjukkan keupayaan dan kesediaan tentera kami untuk bertindak balas terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara serta serangan berskala penuh," kata kementerian itu dalam satu kenyataan media, sambil menyatakan komitmen untuk mengekalkan "keamanan melalui kekuatan luar biasa".

Minggu lalu, media tempatan melaporkan bahawa Kim Jong Un telah meluluskan persiapan terakhir untuk pelancaran satelit pengintip tentera pertama di Korea Utara. 

Kim berkata adalah menjadi keperluan untuk menangkis ancaman daripada AS dan Korea Selatan. 

Penganalisis berkata satelit itu akan meningkatkan keupayaan pengawasan Korea Utara, membolehkannya menyerang sasaran dengan lebih tepat sekiranya berlaku perang.

Imej satelit komersil terkini menunjukkan kemajuan pada pad pelancaran satelit di Korea Utara dan mungkin sebagai persediaan bagi pelancarannya, kata kumpulan pemantau yang berpangkalan di Amerika Syarikat, 38 North.

Tentera AS dan Korea Selatan telah menjalankan pelbagai latihan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk latihan udara dan laut yang melibatkan pengebom B-1B AS

Korea Utara telah sebelum ini kurang senang dengan latihan itu, yang disifatkannya sebagai persediaan oleh tentera AS dan Korea Selatan untuk pencerobohan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.