- Iklan -
Luar Sana

Perjalanan penumpang pengangkutan udara sempena cuti di AS lebihi paras pra-Covid

FAA, syarikat penerbangan dan tapak web penjejakan penerbangan melaporkan perjalanan lancar sepanjang tempoh Memorial Day dan peningkatan prestasi ketara sepanjang 2022, termasuk kadar pembatalan adalah lebih rendah berbanding tahun sebelum ini.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah pesawat Delta Airlines mendarat di hadapan Empire State Building dan latar langit Manhattan selepas penerbangan sebelum ini dihentikan semasa gangguan sistem FAA di Lapangan Terbang Laguardia, di New York, AS, 11 Januari. Gambar: Reuters

Perjalanan penumpang pengangkutan udara di Amerika Syarikat (AS) melebihi paras pra-Covid-19 sepanjang cuti hujung minggu sempena Memorial Day, yang biasanya menandakan permulaan kepada perjalanan musim panas paling sibuk, demikian menurut angka yang dikeluarkan Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) AS pada Selasa. 

TSA berkata hampir 9.8 juta penumpang telah disaring atau lulus melalui pemeriksaan keselamatan sepanjang empat hari hujung minggu, kira-kira 300,000 lebih berbanding tempoh cuti yang sama pada 2019, kata agensi itu. 

Menurut agensi itu, pihaknya menyaring 2.74 juta penumpang pada Jumaat sahaja, jumlah tertinggi dalam sehari sejak November 2019. 

Trafik pada Jumaat mengatasi paras tertinggi baru-baru ini yang telah ditetapkan pada Khamis dan keseluruhan hujung minggu mengatasi paras trafik sebelum Covid.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata Khamis adalah trafik harian tertinggi negara itu selepas Covid, dengan 54,684 penerbangan direkodkan. 

FAA, syarikat penerbangan dan tapak web penjejakan penerbangan melaporkan perjalanan lancar sepanjang tempoh Memorial Day dan peningkatan prestasi ketara sepanjang 2022, termasuk kadar pembatalan adalah lebih rendah berbanding tahun sebelum ini.

American Airlines berkata pada Ahad ia membatalkan hanya 13 penerbangan serantau, atau 0.2% daripada jumlah berlepas yang dijadualkan, selepas empat hari berturut-turut AS tidak membatalkan sebarang penerbangan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.