- Iklan -
Luar Sana

Rusia denda WhatsApp kerana enggan padam kandungan dilarang

Moscow selama bertahun-tahun bertelagah dengan Big Tech berhubung kandungan, penapisan, data dan perwakilan tempatan dalam pertikaian yang meningkat selepas Rusia menghantar angkatan bersenjatanya ke Ukraine pada 24 Februari 2022.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
WhatsApp sebelum ini telah didenda kerana dakwaan keengganannya mematuhi undang-undang data Rusia dan menyimpan data pengguna Rusia pada pelayan di negara itu. Gambar: AFP
WhatsApp sebelum ini telah didenda kerana dakwaan keengganannya mematuhi undang-undang data Rusia dan menyimpan data pengguna Rusia pada pelayan di negara itu. Gambar: AFP

Mahkamah Rusia mengenakan denda AS$37,080 (kira-kira RM170,644) terhadap penyedia perkhidmatan penghantar mesej WhatsApp kerana gagal memadam kandungan terlarang.

Ini merupakan denda pertama di Rusia atas kesalahan itu.

Syarikat induk WhatsApp, Meta Platforms Inc telah dicop sebagai organisasi "pelampau" oleh Moscow tahun lepas, tetapi aplikasi menghantar mesej – yang popular secara meluas di Rusia – sebelum ini tidak berdepan hukuman kerana gagal mengalih keluar maklumat yang dilarang. 

Perkhidmatan Meta lain, Facebook dan Instagram – yang kini diharamkan di Rusia – telah didenda kerana kandungan, begitu juga dengan Twitter dan Google Alphabet. 

WhatsApp, bagaimanapun, sebelum ini telah didenda kerana dakwaan keengganannya untuk mematuhi undang-undang data Rusia dan menyimpan data pengguna Rusia pada pelayan di negara itu.

Agensi berita RIA melaporkan bahawa denda yang dikenakan semalam adalah disebabkan keengganan WhatsApp untuk mengeluarkan maklumat mengenai ubat Lyrica, yang penjualan dan pembuatannya dilarang di Rusia. 

Reuters cuba mendapatkan komen daripada Meta namun tidak berjaya kerana di luar waktu perniagaan AS. 

Mahkamah juga mendenda Yayasan Wikimedia, yang memiliki Wikipedia sebanyak tiga juta rubel, kerana tidak mengeluarkan apa yang dianggap Rusia sebagai "maklumat palsu" mengenai kempen ketenteraan Moscow di Ukraine. 

Reueters juga cuba mendapatkan komen daripada Wikimedia namun tidak berjaya.

Ia sebelum ini mengatakan maklumat yang diadukan oleh pihak berkuasa Rusia adalah sumber yang baik dan selaras dengan piawaian Wikipedia. 